CHONBURI – Skuad bola sepak wanita Indonesia mengesahkan slot ke separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025 selepas kemenangan Thailand 2-0 ke atas Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A, sekali gus mengesahkan Garuda Pertiwi sebagai naib juara kumpulan.
Thailand memastikan status pendahulu dengan enam mata selepas dua jaringan babak pertama menerusi Kanyanat Chettaburt pada minit kesembilan dan Orapin Wainngoen minit ke-18, sementara Singapura kekal di tangga tercorot tanpa sebarang kemenangan.
Indonesia yang menewaskan Singapura 3-1 sebelum tewas 0-8 kepada Thailand pada aksi pembukaan, mengumpul tiga mata dan menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan, sekali gus menjadi pasukan kedua layak ke empat terbaik.
Kumpulan A pada awalnya dibarisi empat pasukan, namun penarikan diri Kemboja atas faktor keselamatan menyebabkan hanya tiga pasukan beraksi, menjadikan keputusan pertemuan Thailand–Singapura amat penting untuk menentukan nasib Indonesia.
Sementara itu, perebutan slot separuh akhir dalam Kumpulan B masih terbuka apabila Myanmar mendahului dengan enam mata, diikuti Vietnam dan Filipina yang masing-masing mengutip tiga mata, manakala Malaysia yang masih tanpa mata sudah tersingkir.
Indonesia yang menamatkan aksi lebih awal pada Ahad lalu kini menikmati tempoh rehat paling panjang dalam kalangan pasukan bersaing, sesuatu yang dianggap kelebihan besar buat Iris de Rouw dan rakan sepasukan untuk memulihkan fizikal serta menyusun semula taktikal.
Aksi separuh akhir dijadual berlangsung esok dengan Indonesia bakal menentang juara Kumpulan B, manakala Thailand akan berdepan naib juara kumpulan itu sebelum perebutan pingat berlangsung pada 17 Disember. – AGENSI














