JAKARTA – Ratu kolam renang Indonesia, Masniari Wolf mengakui dia memberi lebih fokus bagi memantapkan kemampuan melakukan pecutan sebelum turun beraksi pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand.
Atlet kelahiran Jerman itu pastinya perlu melakukan persiapan terbaik sebelum turun beraksi memandangkan dia merupakan pemenang pingat emas acara 50 meter (m) kuak lentang wanita pada edisi 2023 di Kemboja.
Masniari berkata, sepanjang melakukan persiapan bagi menghadapi Sukan SEA ke-33 itu, dia lebih banyak memberikan perhatian terhadap latihan jarak dekat berbanding renangan secara menyeluruh.
“Saya sudah kurangkan latihan berenang seperti biasa dan memberikan lebih perhatian kepada keupayaan untuk memecut. Secara keseluruhan, saya gembira dengan segala persiapan yang dilakukan di Jerman sebelum ini.
“Saya tidak mahu meletakkan sebarang sasaran spesifik pada Sukan SEA kali ini kerana hanya mahu tampilkan aksi terbaik. Kita tunggu dan lihat apakah keputusannya jika saya dapat catat masa terpantas,” katanya.
Atlet berusia 20 tahun itu juga sedar dia tidak berdepan laluan mudah di Thailand nanti memandangkan bakal dicabar rakan sepasukan, Flairene Candrea Wonomiharjo serta perenang sensasi bertaraf Olimpik dari Filipina, Kayla Sanchez.
“Cabaran pada kali ini lebih sukar jika dibandingkan dengan edisi di Kemboja dua tahun lalu. Saya boleh katakan bahawa Flairene sentiasa memberikan tentangan sengit kepada saya,” ujar Masniari. – AGENSI














