BANGKOK – Perenang Singapura, Letitia Sim muncul watak utama skuad renang negara itu apabila membuka tirai Sukan SEA Thailand 2025 dengan satu pingat emas beserta rekod baharu kejohanan pada hari pertama saingan semalam.
Letitia memenangi acara 50 meter (m) kuak dada wanita dengan catatan rekod baharu Sukan SEA, 31.03 saat (s) untuk menewaskan pencabarnya dari Thailand, Jenjira Srisa-Ard, manakala Saovanee Boonamphai dan wakil Malaysia, Phee Jinq En berkongsi pingat gangsa.
Catatan di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Huamark, Bangkok itu hampir menyamai rekod kebangsaan miliknya, 30.92s yang dilakukan pada Terbuka Jepun 2023.
“Masa yang sangat baik untuk saya dan persaingan tahun ini makin meningkat yang bagus untuk menaikkan nama Asia Tenggara,” kata Letitia yang hanya ketinggalan 0.11s daripada rekod kebangsaannya.
Bagaimanapun, di sebalik sorakan buat Letitia, Singapura turut dikejutkan apabila penguasaan kemenangan sejak 2015 dalam acara 4x100m gaya bebas wanita dan 100m kuak lentang lelaki akhirnya lebur pada edisi ke-33 kali ini.
Langkah Singapura terhenti apabila Quah Zheng Wen hanya meraih gangsa 100m kuak lentang dengan catatan 56.04s dan mengakui kecewa dengan keputusan tersebut.
“Saya sangat kecewa kerana sudah menang lima kali berturut-turut tetapi kali ini saya tak cukup pulih daripada acara sebelumnya,” katanya.
Acara 200m kuak kupu-kupu turut menamatkan dominasi Singapura apabila Quah Jing Wen sekadar meraih gangsa sambil mengakui sukar menggambarkan kekecewaannya selepas dia telah memberikan segala-galanya dalam ‘acara istimewa’ itu. – AGENSI














