JERLUN – Seorang remaja perempuan maut, manakala rakannya parah selepas motosikal yang mereka naiki terlanggar tiang tanda selamat jalan di sempadan negeri Kedah-Perlis di Jalan Sanglang dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa dikenali sebagai Nur Farah Nabila, 16, maut di lokasi kejadian, manakala remaja lelaki berusia 17 tahun cedera di muka dan kepala.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, dua mangsa terbabit dalam perjalanan menghala ke Kangar.
“Sebaik tiba di lokasi, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang remaja lelaki bersama pembonceng remaja perempuan itu terbabas ke kiri jalan sebelum terlanggar tiang tanda selamat jalan di sempadan negeri.
“Akibat kemalangan tersebut, pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar akibat kecederaan di muka dan kepala,” katanya di sini hari ini.
Katanya, hasil siasatan percaya kemalangan berpunca daripada kecuaian penunggang sehingga menyebabkan motosikal terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang tanda selamat jalan di sempadan negeri.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














