fbpx
Wan Badariah pada persidangan DUN Perlis, hari ini.

Perlis tertinggi obesiti, ketiga diabetis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Perlis muncul sebagai negeri tertinggi mencatatkan kadar obesiti di Malaysia iaitu 32.8 peratus, manakala diabetis pula berada pada paras 20.6 peratus, ketiga tertinggi dalam negara.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, walaupun penganjuran festival makanan menjadi pemangkin sektor pelancongan dan ekonomi setempat, kerajaan negeri tidak memandang ringan isu kesihatan awam yang semakin membimbangkan.

“Beberapa tindakan telah dilaksanakan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan agensi berkaitan bagi memastikan usaha pelancongan tidak bercanggah dengan agenda kesihatan rakyat.

“Antaranya termasuk penyediaan kaunter saringan kesihatan seperti pemeriksaan tekanan darah, indeks jisim badan dan paras gula oleh Jabatan Kesihatan negeri serta kempen advokasi pemakanan sihat semasa penganjuran festival makanan,” katanya ketika sesi menjawab soalan lisan Megat Hashirat Hassan (Pauh-Bersatu) di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Megat Hashirat bertanya tindakan kerajaan mengenai festival makanan yang begitu hebat dipromosikan oleh kerajaan serta agensi negeri di sebalik peningkatan obesiti dan diabetis yang tinggi di negeri itu.

Menurut Wan Badariah yang mewakili Exco Kesihatan, Marzita Mansor, kerajaan negeri turut melaksanakan program kesedaran sepanjang tahun seperti Hidup Sihat Perlis Sejahtera yang menyasarkan komuniti, sekolah serta kumpulan rentan bagi memupuk budaya pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal berkala.

“Penganjur program kerajaan diwajibkan menyediakan ruang aktiviti fizikal seperti larian santai, kayuhan basikal dan senaman bagi menyeimbangkan gaya hidup masyarakat.

“Kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Kangar juga akan memperkenalkan segmen makanan sihat dalam Food Festival termasuk hidangan rendah gula, rendah lemak serta penggunaan bahan tempatan segar selain keperluan memaparkan maklumat nutrisi asas di gerai makanan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI