fbpx
Puas hati apabila dapat menaikkan ikan tilapia dengan gewang terutamanya jika saiznya bagak.

Menggewang tilapia gergasi di lubuk gajah liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IKAN tilapia yang diternak di sangkar-sangkar terapung terutamanya di bahagian selatan Empangan Temenggor merupakan spesies yang telah diubah secara genetik dengan nama GenoMar Supreme Tilapia.

Spesies ikan tilapia ini juga dipanggil sebagai trapia oleh ma­­syarakat sekitar. Ciri-ciri ikan ini adalah kepalanya yang lebih pendek, badan lebih lebar dan gemuk dengan sirip serta ekor lebih kecil berbanding ikan tilapia biasa.

Perubahan secara genetik ini juga membuatkan ikan tilapia jenis ini cepat membesar hingga saiz yang menakjubkan. Ikan ini mempunyai isi yang lebih tebal hingga membuatkan ia sesuai dikomersialkan sebagai filet ikan.

Ada ikan tilapia itu terlepas dari sangkar ternakan dan merebak ke sesetengah lokasi di empangan ini. Jika dapat dipancing saiznya sangat mega.

Paras air rendah

Lokasi pancingan yang saya redah ini sedikit istimewa kerana ia hanya wujud ketika paras air empangan surut pada takat tertentu sahaja. Pada hari-hari yang paras air tinggi, kawasan ini tenggelam dengan air dalam.

Kawasan ini juga menjadi habitat haiwan liar terutamanya kumpulan gajah. Namun, untuk me­nerjah kawasan ini, kita perlu gunakan guide yang mahir dan arif dengan keadaan semasa kerana denainya berselirat.

Keselamatan sudah tentunya menjadi keutamaan.

Jadi untuk trip ini, kami gunakan guide abang Bukhary atau dikenali sebagai Bukhary Gerik di laman Facebook. Dia sememangnya amat arif tentang lokasi ini kerana menjadi kawasan ‘permainannya’ sejak dari dahulu lagi.

Kejayaan menemui lubuk ikan haruan saiz kasar pada trip sebelum ini (rujuk artikel sisipan Gewang 6 November 2025), maka ia tidak terhenti pada spesies itu sahaja.

Seronok sangat mencari tilapia gergasi hingga tidak sedar memancing sampai lewat petang di kawasan gajah liar.

Pada masa sama, ada satu lagi spesies ikan yang tidak disangka turut menggoda gewang soft plastic yang asalnya digunakan untuk mencari haruan bersaiz bagak.

Biasanya, haruan saiz besar berada dalam kolam-kolam yang jauh di dalam hutan ini, manakala tilapia lebih gemar rapat di dasar.

Disebabkan itu, kami telah mengubah persembahan soft plastic kepada teknik ‘menyeret’ dasar.

Jighead berat digunakan, malah ada yang menambah batu ladung di jighead supaya soft plastic dimainkan betul-betul menyeret dasar kolam hingga
menerbitkan keladak lumpur.

Dengan cara ini, barulah keha­diran soft plastic kami disedari ikan hingga menerbitkan naluri untuk menerkam gewang.

Kejutan

Walaupun kedengaran mudah, namun hakikatnya bukan senang hendak mencari haruan di ­kolam-kolam tersebut.

Lebih-lebih lagi, ia juga culas dan kebanjiran ikan-ikan kecil yang turut terperangkap di lokasi sama juga membuatkan haruan tidak mengendahkan sangat soft plastic dimainkan.

Jadi, kami perlu ‘menyikat’ (combing) segenap inci parameter dasar. Hasilnya, satu spesies ikan yang tidak disangka wujud bersama-sama haruan turut membedal soft plastic iaitu tilapia mega.

Awalnya, kehadiran ikan tilapia ini hanya disedari apabila terasa soft plastic seperti dilarikan sesuatu kerana boleh kelihatan tali pancing bergerak ke arah lain, tetapi apabila disembat ia tidak lekat.

Geram apabila asyik dipermainkan banyak kali begitu, saya tidak memberikan ruang langsung.

Teknik menyeret soft plastic perlahan-lahan rapat di dasar betul-betul menjadi untuk tilapia saiz ‘king’ ini.

Sebaik terasa soft plastic seperti terangkat dari dasar, saya terus sembat joran dan alangkah terpe­ranjatnya kerana di hujung tali adalah seekor ikan tilapia bersaiz sangat kasar.

Sarang kuali

Selepas beberapa kali kena perkara sama, barulah saya teringat bahawa spesies ikan tilapia adalah keluarga Chiclid. Maknanya, ia spesies ikan yang gemar membuat sarang berupa kawah-kawah bulat berbentuk kuali.

Perangai ikan tilapia, ia pembersih dan akan rajin membuang kotoran yang masuk ke dalam ‘sarangnya’ itu. Ia bersifat lebih garang dan bengis jika ada kawanan anak-anaknya yang sedang dijaga.

Setiap kali ada ikan lain ter­utamanya ikan pemangsa me­rapati sarangnya, ia akan diusir keluar. Kebiasaannya, sepasang induk akan menjaga satu kawah yang menjadi sarang.

Jadi dalam kes kami ini, tidak diketahui sama ada ikan tilapia ini membedal soft plastic kerana dianggap sebagai kotoran yang masuk ke sarangnya atau sebagai ikan pemangsa cuba mengganggu gugat kumpulan anak-anak halus dijaganya.

Ada kalanya terasa seperti soft plastic diangkat secara lemah lembut, dan ada masa ia disambar ganas hingga terperanjat kami dibuatnya.

Perlawanan dengan ikan tilapia gergasi ini sememangnya tidak dinafikan sangat kuat, umpama menghela ikan jenahak baya-baya dua hingga tiga kilogram di kolam bayar. Namun, tentangan hanya diberikan di awal perlawanan, selepas itu ia memberat kaku dengan sekali-sekala kepalanya menekan ke dasar.

Semua ikan tilapia tangkapan kami dibawa balik sebagai hidangan kerana ia spesies pendatang di Empangan Temenggor. Rasanya juga sedap dimasak apa sahaja lebih-lebih lagi dengan saiznya yang besar, jadi isinya banyak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN