fbpx
Tangkap layar perkongsian seorang doktor di Threads.

‘Kerusi boleh lap, kaki abang sakit tu lagi penting’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perkongsian seorang doktor mengenai pesakit yang enggan duduk di kerusi klinik disebabkan baju kerjanya yang kotor menarik perhatian ramai.

Menerusi perkongsian di Threads oleh @drkhaw_familymedicine, beliau berkongsi seorang pesakit yang berdiri tegak di tepi pintu dan turut tidak mahu duduk di kerusi yang disediakan disebabkan bimbang pakaian kotornya akan mengotorkan kerusi klinik.

“Dia berdiri tegak dekat tepi pintu, serba salah nak masuk dan beritahu saya untuk duduk di tempat lain kerana bajunya yang kotor. Bau peluh dia memang kuat, jelas baru lepas kerja keras tengah panas terik. Saya terus tarik kerusi dekat dengan dia dan meminta dia untuk duduk. Kerusi boleh lap, kaki abang yang sakit lebih penting dari kerusi,” tulisnya.

Menurut doktor tersebut, pesakit terbabit akhirnya mengakui bahawa tapak kakinya sudah bengkak dan bernanah selepas terpijak paku karat dua hati sebelum itu, namun dia tetap bekerja kerana menerima gaji harian untuk menampung belanja dapur.

“Semasa cuci luka, dia tanya ‘doktor, mahal tak? Kalau mahal, bagi ubat makan saja. Dalam poket saya ada RM50 saja untuk belanja dapur malam ni’,” tulisnya.

Doktor tersebut memaklumkan bahawa dia memberikan rawatan lengkap termasuk cucuk tetanus dan antibiotik tanpa mengenakan bayaran yang membebankan.

“Bagi saya, bau peluh abang tu bukan bau busuk. Itu adalah bay pengorbanan seorang ketua keluarga yang sangat jujur cari rezeki,” tulisnya.

Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang rata-rata terharu melihat pengorbanan lelaki tersebut dan memuji sikap empati doktor berkenaan.

“Disebabkan ini saya pilih untuk jadi doktor, MasyaAllah, semoga Allah balas baik hati dan luaskan rezeki doktor,” komen Nana.

“Semoga awak memberi inspirasi kepada ramai lagi orang seperti awak. Saya pernah jumpa doktor macam awak, dimana saya tak mampu bayar tetapi dia cakap dekat saya untuk tak perlu risau,” kata Al Mokhtar.

“Terima kasih doktor, belas kasihan dan toleransi jauh melebihi nilai sebarang bayaran yang dikenakan,” komen Fatin Yunus. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN