fbpx
Liza Abdullah adakalanya berasa bosan kerap ditawarkan antagonis terutama mentua yang bengis. – FARIZ RUSADIO

‘Kalau tak kuat, senang meresap kejahatan watak lakonan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IBU mentua paling dibenci. Mungkin gelaran tersebut sangat sinonim dengan Liza Abdullah sepanjang tempoh 10 tahun ini.

Manakan tidak, kebencian terhadapnya mula meledak dan membiak subur selepas impak Mak Leha dalam drama fenomena 7 Hari Mencintaimu.

Sejak detik itu, setiap watak ibu mentua yang dipegangnya berjaya ‘mendidihkan’ darah setiap pencinta drama tempatan.
Terbaharu, aktres versatil berusia 61 tahun itu sekali lagi membikin rakyat Malaysia tidak senang duduk dengan lakonan hebat sebagai ibu mentua kejam berhati busuk dalam naskhah Sumpah Ibuku.

Menurut Liza, dia menerima tawaran drama yang turut dibintangi Remy Ishak, Izara Aishah, Zara Zya, Syad Mutalib dan Syazwan Zulkifly tersebut kerana mahu menyampaikan mesej mengenai penerimaan segelintir ibu mentua terhadap menantu selepas mengahwini anak mereka.

“Jalan cerita Sumpah Ibuku sangat bagus. Watak saya pula pastinya akan dibenci ramai tetapi saya okey sebab semua itu hanya lakonan semata-mata.

“Dalam drama ini saya jadi ibu yang tak mahu anak lelakinya (Remy Ishak) kahwin dan hidup bersama sehingga tua tetapi semuanya berubah selepas anaknya bernikah.

“Bergandingan dengan semua pelakon gred A, saya sangat berbesar hati terlibat dalam drama ini. Harap mampu beri pengajaran besar kepada penonton,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Kerap menjadi mangsa kecaman ramai, Liza mengakui pernah berasa letih untuk melakonkan watak antagonis tetapi tetap dilakukannya demi peminat.

LIZA Abdullah selalu mengingatkan diri bahawa yang jahat adalah lakonan, bukan dirinya. Semua itu penting agar unsur negatif tidak dalam diri sebaik keluar dari set penggambaran.

Kejam tahap maksimum

Namun paling membuatkan jiwanya ralat apabila merasakan emosi watak lakonannya tidak disampaikan sepenuhnya.

“Allah SWT beri rezeki berbeza kepada semua orang dan sebagai pelakon, pasti semua watak kita nak lakukan.

“Setiap kali dapat watak antagonis, memang akan beri energi dan kejahatan sebanyak 200 peratus, memang kejam tahap maksimum.

“Penat dan adakalanya rasa nak menangis terutama kalau tak dapat beri hasil yang diinginkan.

“Walaupun ada yang cakap saya sudah senior, kadang-kadang ketidakpuasan itu masih wujud dan rasa terkilan sebab sudah penat sangat,” ujarnya.

Dalam pada itu, kekerapan memegang watak antagonis mengajarnya untuk tidak meresap perkara buruk lakonan sendiri.

“Sebagai pelakon apabila memenuhi kehendak sesebuah watak terutama karakter antagonis, kita akan buat sehabis baik tetapi perlu juga sedar realiti bahawa semua itu sekadar lakonan.

LAKONAN Liza sebagai ibu mentua kejam dalam Sumpah Ibuku sekali lagi mengundang kemarahan pencinta drama tempatan, malah ramai mengakui ‘naik darah’ dengan wataknya.

“Perlu sedar bahawa perkara jahat tak perlu ada dalam kehidupan tetapi kita tetap manusia biasa.

“Jadi, berbalik kepada pegangan agama. Kalau tidak kuat, memang senang meresapi unsur-unsur negatif daripada watak yang dimainkan,” jelasnya.

Meski setiap lakonannya meraih sambutan luar biasa dan menjadi bahan bualan ramai dalam media sosial, dia mendedahkan lebih seronok melakonkan naskhah komedi kerana lebih santai.

“Sebenarnya, kalau diberi pilihan saya akan pilih komedi sebab suka genre tersebut.

“Ada saja drama komedi saya lakonkan dan diingati peminat cuma biasalah yang jahat juga akan lebih menyerlah.

“Namun saya akui memang rindu watak komedi cuma rezeki mencurah dengan karakter antagonis,” tuturnya.

MENJADI prinsip Liza sejak dahulu, dia tidak akan sesekali berkongsi kisah peribadi kepada umum

Privasi

Jika diteliti perjalanan seninya, dia tidak pernah terpalit dengan cerita sensasi berkaitan kehidupan peribadi terutama tentang rumah tangga.

Semuanya disimpan rapi, segala masalah mahupun berita baik sekalipun tidak diketahui umum.

“Saya memang pegang prinsip sejak dahulu tidak akan sesekali kongsi hal peribadi kepada umum.

“Tapi bila sudah berada dalam bidang ini, semua benda orang nak tahu termasuk hal dalam kain. Jadi, selagi boleh elak, saya akan terus lakukan,” katanya lagi.

Dia turut mengakui adakalanya berasa gelisah melihat terlalu banyak kisah keruntuhan rumah tangga dikongsi dalam media sosial.

“Adakalanya bila orang temu bual dan tanya saya apa perkara yang membahagiakan, saya akan jawab ‘tengok orang bahagia’.

“Saya rasa gelisah, tak boleh baca cerita-cerita begitu (isu kemelut rumah tangga). Bagi saya, hal rumah tangga adalah privasi.

“Kau baik atau tidak, simpan sahaja. Kalau dah dedah semua itu kepada umum, apa yang tinggal untuk diri sendiri?

“Kemudian apabila sudah berdamai selepas bergaduh dalam media sosial, kita yang akan malu sendiri,” ujarnya lagi mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN