PUTRAJAYA – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin perlu segera tampil untuk menyerahkan maklumat atau bukti berkaitan berhubung dakwaan gerakan kultus dari Korea Selatan yang dikatakan sedang aktif di Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu penting bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.
“Saya mempelawa Dr. Maza (Mohd. Asri) tampil membekalkan maklumat yang lengkap kepada pihak berkuasa. Tentunya, kalau beliau mempunyai maklumat seperti yang disebut.
“Perkara itu saya fikir boleh kita uruskan mengikut jalur hukum (undang-undang), pihak yang menyebut bahawa ada kes seumpama itu, menjadi tanggungjawab untuk mereka tampil, memberikan maklumat kepada pihak berkuasa iaitu polis,” katanya pada sidang akhbar selepas
Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan yang mendakwa sebuah gerakan kultus berasal dari Korea Selatan menggunakan nama Jesus dengan pelbagai dakwaan yang sangat janggal dan menyimpang sedang aktif di Malaysia.
Sebelum ini juga, Dr. Mohd. Asri menerusi hantaran di laman Facebook turut mendedahkan ramai Ahli Parlimen Muslim dan individu penting di Parlimen turut dilihat aktif membantu gerakan kultus tersebut dan satu taklimat mengenainya telah disampaikan pada Mesyuarat
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.
Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan Cawangan Khas mempunyai unit khusus bagi menangani ajaran sesat merentasi pelbagai agama dan penganut, termasuk pemantauan modus operandi kumpulan serta individu terlibat.
“Memang itu tugas hakiki dalam Cawangan Khas khusus untuk itu,” katanya.
Beliau berkata siasatan hanya boleh dijalankan apabila pihak polis menerima laporan dan akan berlandaskan undang-undang sedia ada.
“Jadi saya pelawa sahabat saya Dr. Maza untuk tampil buat laporan. Apabila laporan dibuat, kita akan mulakan siasatan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE














