DENPASAR – Seorang bintang filem dewasa Britain berdepan pengusiran dari pulau peranginan Indonesia, Bali, kerana melanggar undang-undang imigresen selepas ditahan kerana disyaki menghasilkan kandungan lucah dalam talian, kata polis hari ini.
Polis tempatan minggu lalu menyerbu sebuah studio di hab pelancongan popular Badung, dekat ibu kota pulau itu, Denpasar. Polis kemudian menahan aktres berkenaan, Bonnie Blue atau nama sebenarnya Tia Billinger.
Tiga lelaki terdiri daripada dua rakyat Britain dan seorang warga Australia turut diberkas selepas polis menerima maklumat daripada ‘warga tempatan prihatin’, kata ketua polis tempatan, Muhammad Arif Batubara.
“Kami sedang menjalankan siasatan mengenai aktiviti yang melibatkan dakwaan perbuatan jenayah pornografi atau kandungan yang melanggar kesopanan,” kata Arif kepada wartawan di Denpasar.
“Kami akan mengambil tindakan tegas dengan mengusir dan menyenarai hitam mereka,” kata ketua imigresen lapangan terbang Bali, Winarko pula.
Pegawai polis dan imigresen berkata, setakat ini mereka tidak menemui sebarang bukti kumpulan itu membuat kandungan lucah.
Tia dan rakan-rakan sebaliknya akan diusir kerana melanggar peraturan visa pelancong, termasuk bekerja tanpa permit dan melanggar undang-undang lalu lintas.
Billinger, 26, dan rakan-rakan lelaki yang kesemua mereka berumur dalam lingkungan 20-an, akan dihadapkan ke Mahkamah Daerah Denpasar esok dan selepas itu mereka akan disenarai hitam.
“Ini akan berlaku serta-merta selepas perbicaraan selesai,” kata Winarko.
Indonesia yang majoriti penduduknya beragama Islam, melarang pembuatan pornografi dengan pesalah boleh dihukum penjara sehingga 12 tahun dan denda AS$360,000 (RM1.4 juta). – AFP.














