KLANG – Detik cemas mengeluarkan 40 mangsa melalui celahan rumah ketika api menjulang setinggi 100 meter menjadi kenangan paling diingati dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Khairul Azuwan Ibrahim berkata, beliau dan pasukannya membawa mangsa sejauh lebih 100 meter yang ketika itu berada di hujung taman lokasi tersebut ke pusat pelindungan sementara di Kuil Sri Maha Kaliamman.
“Tempoh selama 20 minit bagi memindahkan mangsa adalah tahap sangat genting dan berisiko tinggi dalam situasi api marak menyala dengan bahang 1,000 darjah celcius.
“Ada yang kita bawa menggunakan alat pengusung dengan mangsa cedera melecur teruk di belakang badan dan kaki,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau antara empat pegawai bomba yang menerima pingat darjah kebesaran Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Ahli Mahkota Selangor bagi menghargai sumbangan dalam operasi tersebut sempena Istiadat Penganugerahan Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-80 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini.
Sementara itu, Pengarah JBPM Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail, turut menerima Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membawa gelaran Dato’.
Khairul Azuwan, 47, mengakui ia merupakan pengalaman pertamanya berdepan operasi melibatkan letupan paip gas dengan membabitkan 400 mangsa dan 100 daripadanya cedera.
Ketua Zon 2 Selangor (Petaling), Wan Syariman Wan Saleh, yang turut bertugas dalam operasi tersebut, menyifatkan kejadian pada Hari Raya Aidilfitri kedua itu sebagai antara yang paling mencabar sepanjang 24 tahun berkhidmat.
Ujarnya, ini berikutan ia melibatkan jumlah mangsa yang ramai berbanding pengalaman kebakaran tangki minyak di Tanjung Langsat, Johor pada tahun 2008 tidak membabitkan sebarang komuniti setempat.
“Anggota terpaksa bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa, ada yang perlu didukung bagi mengelakkan sebarang kematian.
“Ada penduduk yang kulit kaki dan tapak kaki mereka tertanggal akibat bahang. Kami berusaha meminimakan kecederaan dengan melakukan evakuasi dengan pantas tetapi tetap berhati-hati,” katanya.
Jelasnya, penganugerahan diterima secara langsung menjadi pemangkin semangat lebih jitu pada masa akan datang dalam memberikan khidmat kepada masyarakat setempat. – KOSMO! ONLINE














