KUALA SELANGOR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa peniaga di Pasar Selayang yang mendakwa terpaksa membayar sekitar RM5,000 sebagai ‘perlindungan’ kepada pihak berkuasa supaya tampil membuat laporan rasmi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjelaskan, dakwaan itu hanya boleh disiasat sekiranya pihak yang mendakwa tampil memberikan maklumat lengkap kepada SPRM dan bukan hanya membuat kenyataan umum di media atau media sosial.
“Isu ini bukan perkara baharu namun, SPRM ingin menegaskan bahawa sebarang bentuk salah guna kuasa mestilah dilaporkan kepada kami berserta bukti yang kukuh untuk dilakukan siasatan.
“Jika dakwaan hanyalah melalui media social dan sekadar dilaporkan kepada pihak media, kami tidak dapat lakukan siasatan kerana tiada laporan rasmi,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan majlis SPRM-UiTM Inspira 2025 di UiTM Puncak Alam, hari ini.
Menurutnya, tindakan tidak boleh diambil tanpa maklumat tepat kerana ia akan menjejaskan keadilan kepada semua pihak termasuk pegawai penguatkuasa yang dikaitkan.
“SPRM perlu bersikap dil kepada semua pihak tidak kira kepada pihak yang menuduh mahupun anggota pihak berkuasa yang dituduh. Oleh sebab itu, Pihak yang mendakwa mesti kemukakan bukti kukuh kepada kami agar siasatan telus dapat dijalankan,” katanya.
Jelasnya, pemberi maklumat akan dilindungi oleh Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan menggesa orang ramai untuk berani tampil melaporkan apa sahaja bentuk aktiviti salah guna kuasa.
Tedahulu, media melaporkan terdapat beberapa peniaga di Pasar Selayang didakwa membayar wang perlindungan kepada individu tempatan yang dilindungi pihak berkuasa, membolehkan peniaga warga asing terus berniaga secara haram walaupun selepas serbuan penguatkuasa.- KOSMO! ONLINE














