TANAH MERAH – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di rumah mereka di Kampung Paku, Gual Ipoh di sini pada minggu lalu.
Tertuduh, Ibrahim Sulaiman, 63, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tun Faez Fikhrie Tun Asrul Saini.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan bapa kepada dua anak didakwa membunuh Mastura Abdullah, 40, di sebuah rumah di Kampung Paku, Gual Ipoh di sini antara pukul 9.30 pagi hingga 12.15 tengah hari pada 1 Disember lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan minimum 12 sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Irfan Aizat Daud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu diiringi anggota polis tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 8.30 pagi dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero.
Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang lelaki bertindak di luar dugaan apabila menikam isterinya sampai mati kerana cemburu selepas mengesyaki wanita itu mempunyai teman lelaki sejak bekerja sebagai tukang masak di sebuah kantin di Selangor.
Dalam kejadian pada 1 Disember lalu itu, Mastura ditemui sudah dalam keadaan tidak bernyawa dan berlumuran darah di ruang dapur rumah tersebut selepas ditikam suaminya dengan sebilah pisau.
Adik mangsa, Mohd. Jony Abdullah, 30, berkata, suspek yang merupakan abang iparnya menyerah diri di Balai Polis Gual Ipoh di sini kira-kira dua jam kemudian selepas mengambil anaknya dari sekolah.
Sementara itu, sepupu arwah, Razuan Mat Yazid, 30-an berkata, suami mangsa mengesyaki arwah mempunyai teman lelaki sejak bekerja di Selangor dan kerap menghubunginya untuk mengadu mengenai masalah itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat mengesahkan mangsa meninggal dunia selepas ditikam dengan dua tikaman pada bahagian belakang badannya.
“Siasatan mendapati, mangsa bertengkar dengan suaminya sebelum ditikam dengan menggunakan sebilah pisau.
“Kejadian itu berlaku selepas suspek yang merupakan suami mangsa mengesyaki wanita itu mempunyai kekasih. Lelaki itu dipercayai menikam bahagian belakang badan isterinya dengan dua tikaman,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














