JERANTUT – Keluarga kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, Nurul Aisyah Mohd. Nazrul yang mengalami masalah injap jantung hanya mampu berserah kerana tidak mampu menyediakan wang sebanyak RM30,000 bagi melakukan pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Ibunya, Nurul Wahida Kamarudin, 41, berkata, anak bongsunya itu kerap merengek sambil mengadu susah bernafas dan sakit di dada sebelah kiri pada waktu malam dan kami hanya memujuknya sambil menyapu minyak angin di dada.
Katanya, sudah empat kali dia dan suami menangguhkan rawatan pembedahan injap jantung Nurul Aisyah kerana masalah kewangan.
“Saya dan suami juga tidak mampu mengeluarkan perbelanjaan pengangkutan dan penginapan kira-kira RM2,000 ketika berada di IJN.
“Kali ini sudah empat kali termasuk bulan November lalu dipanggil oleh pihak IJN untuk pemeriksaan jantung dan kemungkinan dia dibedah berikutan keadaan fizikalnya kurus, tidak bertenaga dan tidak berselera makan,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini kelmarin.
Menurut Nurul Wahida, Nurul Aisyah disahkan oleh doktor mengalami saluran injap bocor ketika dirawat tahun lalu dan sejak awal tahun ini dipanggil beberapa kali oleh pihak IJN untuk membuat rawatan tersebut.
“Ketika membawa anak untuk dirawat sebelum ini menyebabkan kami tidak dapat bekerja selama beberapa hari kerana menjaga Nurul Aisyah, selain berulang alik ke hospital berdekatan menyebabkan tiada pendapatan hasil jualan ikan liar dan upah di kebun getah,”katanya.
Katanya, dia juga tertekan apabila suaminya, Mohd. Nazrul Mat Zain, 44, turut mengalami sakit jantung.
Ujarnya, suami kini hanya mampu melakukan kerja-kerja ringan kerana kurang bertenaga untuk mengangkat benda berat, selain cepat mengah,
letih serta mengalami kesakitan di bahagian dada ketika mendaki bukit.
Katanya, selain kesakitan anak bongsu dan suami, Nurul Wahida memberitahu, mereka turut mengalami kesempitan wang untuk perbelanjaan persekolahan anaknya, Nurul Syafinaz, 17, yang kini sedang menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Tambahnya anaknya yang lain iaitu Nurul Syafiera, 14, juga masih belajar di sekolah menengah, manakala seorang lagi, Nurul Syaffiya Umairah, 11, di sekolah rendah di Felda tersebut.
“Saya amat berharap ada pihak tertentu dan dermawan dapat membantu membiayai rawatan dan pembedahan injap jantung Nurul Aisyah.
“Sekiranya kami mempunyai wang yang cukup barulah saya dan suami boleh pergi ke IJN apabila dipanggil nanti,” ujarnya.
Sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi Nurul Wahida di talian 013-471 5273 atau terus menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Nurul Wahida bernombor 156141469872.














