NAIROBI – Seorang aktivis iklim di Kenya cuba memecahkan Guinness World Records dengan memeluk sebatang pokok dalam masa 72 jam tanpa henti, lapor portal berita The Star.
Tuphena Muthoni, 22, melakukan percubaan itu selama tiga hari di luar pejabat Gabenor Nyeri bermula Isnin lalu.
Selain perlu mengekalkan sentuhan dengan pokok, Muthoni dibenarkan menukar posisi atau bergerak di sekeliling pohon tersebut, selagi pelukan tidak terputus.
Sekumpulan aktivis iklim bermain alat muzik secara bergilir-gilir untuk mengekalkan semangat Muthoni dan memastikan suasana meriah sepanjang percubaan itu.
Muthoni pernah mencatatkan rekod dunia serupa dengan memeluk pokok selama 48 jam di Taman Peringatan Michuki, Nairobi pada Februari lalu.
Dia berhasrat untuk melangkaui batas fizikal dan mentalnya dengan mengamalkan prinsip yang ketat seperti tidak makan, minum serta rehat. – AGENSI














