PETALING JAYA – Seorang lelaki terkejut selepas perbualan santai bersama isteri mengenai pelakon yang diminatinya, mendapat perhatian pelakon itu sendiri.
Menerusi hantaran pengguna Threads @Mhfztlb, perbualan santai ketika makan tengah hari menjadi sunyi selepas si isteri merajuk ‘celebrity crush’ suaminya adalah Che Puan Sarimah Ibrahim.
“Hari ini borak kosong dengan isteri tentang siapa ‘celebrity crush’. Isteri jawab David Beckham.
“Saya jawab Sarimah Ibrahim. Terus senyap sunyi makan tengah hari ini. Bunyi orang bernafas dan mengunyah je,” katanya.
Hantaran itu mendapat perhatian pelakon Che Puan Sarimah Ibrahim yang muncul di ruang komen hantaran tersebut sekali gus mencuri perhatian ramai.
“Alamak, maaf ya. Mungkin boleh beritahu isteri yang ‘crushes’ tak akan sama dengan teman hidup,” katanya di ruang komen.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-rata terhibur dengan interaksi antara pelakon terkenal dan peminat itu.
“Sepatutnya, kalau isteri abang bagi pelakon luar negara, abang kena ikut sekali. Kalau dia bagi pelakon Malaysia, abang pun bagi pelakon sini,” komen @Abbysue76.
“Abang cakaplah dengan isteri, kalau sebut artis luar negara, bukannya mereka tahu. Sekarang Che Puan Sarimah Ibrahim sudah reply Threads abang,” komen @Zairulgriezmann.
“‘Celebrity crush’ suami saya, Nad Zainal. Tak kisah pun ‘celebrity crush’ pun, tapi bila suami cakap ada pekerja muka macam Nad Zainal, kita jeling,” komen @Nrl_y. – KOSMO! ONLINE














