PETALING JAYA – Pempengaruh dan usahawan, Muhammad Faiz Aizif atau Faiz Soul tampil mempertahankan dirinya berhubung kontroversi jemputan merasmikan majlis di sebuah sekolah di Kedah, baru-baru ini.
Faiz Soul dalam satu video yang dimuat naik berkata, pada awalnya dia sendiri terkejut apabila dimaklumkan bakal menjadi perasmi majlis berkenaan.
Namun dia memilih untuk tidak menolak undangan tersebut sebagai tanda menghormati jemputan dan menjaga hubungan baik dengan warga sekolah.
“Untuk makluman, saya hadir di sekolah tersebut atas tiket seorang usahawan. Saya hadir sebagai pengarah urusan syarikat saya sendiri, untuk memberi suntikan kepada pelajar supaya belajar lebih agresif dan jadi seorang yang berjaya.
“Topik yang saya sampaikan pun hanya tentang Hari Kecemerlangan Pelajar yang kita nak raikan sama-sama,” ujarnya.
Mengulas tohmahan kononnya majlis itu sengaja dipolitikkan dan dikaitkan dengan dana kerajaan, Faiz menegaskan kehadirannya dibiayai sepenuhnya menggunakan wang hasil perniagaan tanpa sebarang kaitan dengan mana-mana parti mahupun peruntukan kerajaan.
“Saya bukan ahli politik, saya bukan daripada mana-mana politik. Saya hadir ke sekolah menggunakan duit saya sendiri, duit perniagaan saya sendiri.
“Kereta Vellfire yang saya hadir ke sekolah, kereta atas nama saya sendiri. Pekerja-pekerja yang saya bawa adalah pekerja yang saya gajikan sendiri. Saya tak ada dana kerajaan, tak ada mana-mana ‘tender projek kerajaan.
“Semua adalah usaha saya meniaga tepi jalan, meniaga kek, meniaga jus, meniaga produk-produk minuman saya,” jelasnya.
Bagi Faiz juga, tindakan menjemput penyumbang, usahawan atau pempengaruh ke sekolah bukanlah sesuatu yang wajar dijadikan bahan kecaman, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu bentuk jaringan kerjasama yang akhirnya memberi manfaat kepada murid.
Dalam penjelasan sama, Faiz menyentuh dakwaan kononnya jemputan beliau melanggar garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) yang melarang kehadiran orang kenamaan dan ahli politik ke sekolah tanpa kelulusan
“Dalam KPM ada pekeliling yang tidak membolehkan anda menjemput orang kenamaan dan ahli politik tanpa kelulusan daripada jabatan ataupun kementerian.
“Tapi saya hadir bukan sebagai orang politik. Saya hadir sebagai pempengaruh dan usahawan yang ingin memberi suntikan kepada pelajar untuk belajar, untuk lebih hebat dan cemerlang di masa hadapan,” katanya.
Dalam masa sama, Faiz mendedahkan bahawa jemputan tersebut bukan sekadar hadir memberi ucapan, sebaliknya menjadi ruang untuknya kembali menyumbang kepada murid-murid memerlukan di sekolah berkenaan.
“Dan sebaliknya, apa saya bantu tau? Saya cakap dekat guru besar. ‘GB, dekat sekolah GB ni ada asnaf tak?’
“GB kata ada, 204 orang. Saya kata, ‘boleh tak untuk tahun depan saya nak bantu untuk yang asnaf 204 orang tu daripada segi baju, keperluan alat tulis’,” jelasnya.
Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah menjalankan siasatan berhubung tindakan sebuah sekolah di negeri ini yang menjemput seorang pempengaruh media sosial untuk merasmikan majlis anugerah akademik, baru-baru ini.
JPN negeri memaklumkan pihaknya memandang serius perkara tersebut dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pentadbir sekolah yang didapati melanggar peraturan sedia ada.
Sebelum ini tular di media sosial video Faiz menjadi tetamu istimewa jemputan sebuah sekolah sehingga menjadi perdebatan hangat dalam kalangan netizen. – KOSMO! ONLINE














