PASIR MAS – Seorang pelajar semester lima di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dekat Jeli didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan dengan sengaja melakukan seks oral dan amang seksual fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan terhadap seorang remaja perempuan yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dalam sebuah kereta, kira-kira dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Yushakimi Jamaludin, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa dengan sengaja telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang remaja perempuan yang berusia 17 tahun 10 bulan.
Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih di tempat letak kereta Lata Janggut, Jeli dekat sini kira-kira pukul 2.30 petang pada 29 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 377B kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Yushakimi didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja sama di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh diwakili peguam, Habibah Wahab.
Terdahulu, Siti Aiysha mencadangkan jaminan RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan tersebut.
Habibah dalam rayuannya memaklumkan keluarga tertuduh hadir ke mahkamah dan menyediakan wang ikat jamin sebanyak RM5,000.
“Tertuduh adalah anak bongsu daripada lima beradik dan merupakan pelajar semester kelima di sebuah IPT di Jeli. Tertuduh mempunyai baki lagi dua semester untuk menamatkan pengajian.
“Anak guam saya ditanggung sepenuhnya oleh ibu bapanya yang sudah berpencen. Ibu bapa tertuduh juga hadir dari Ipoh, Perak untuk membayar jaminan,” katanya.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan tersebut.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang pelajar IPT dan teman wanitanya iaitu calon SPM yang ditahan selepas melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Kampung Rabbana, Jeli pada 29 November lalu dipercayai tidak sempat melakukan hubungan tidak bermoral di dalam kereta.
Pasangan kekasih itu ditahan polis kira-kira pukul 3.30 petang pada hari tersebut selepas polis mengejar kereta jenis Perodua Myvi yang mereka naiki.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, siasatan awal mendapati, suspek mengambil mangsa di hadapan sekolah untuk pergi ke Lata Renyut, di sini.
Menurutnya, lelaki itu bagaimanapun memberhentikan kereta dipandunya di tepi jalan Kampung Sungai Rual, di sini untuk melakukan hubungan seks dengan remaja itu di dalam kereta.
“Remaja perempuan itu dipercayai dengan rela hati untuk melakukan perhubungan itu, namun terkejut dengan kehadiran pihak polis yang sedang melakukan rondaan,” katanya.
Terdahulu, pasangan kekasih itu ditahan selepas polis mengejar kereta jenis Perodua Myvi yang mereka naiki kira-kira lima kilometer.
Pemandu kereta itu bertindak memecut kereta dipandunya dan enggan memberi kerjasama semasa pemeriksaan polis dijalankan. – KOSMO! ONLINE














