KUALA LUMPUR – Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pertama dengan Korea dalam memperkukuhkan kerjasama dari segi pembangunan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) melalui Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030.
MoU berkenaan dimeterai antara Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea meliputi tiga bidang utama iaitu ITS dan sistem tol pintar, teknologi pembinaan mampan serta penyelenggaraan infrastruktur dan pengurusan aset.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, MoU berkenaan juga memperlihatkan iltizam kerajaan untuk melangkah lebih agresif dalam memperkasa mobiliti digital, keselamatan jalan raya dan kecekapan infrastruktur negara.
Menurutnya, Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030 bukan sekadar dasar, tetapi komitmen negara untuk menghasilkan kesan nyata termasuk mengurangkan kemalangan dan emisi, melancarkan perjalanan serta meningkatkan pengalaman mobiliti bertaraf negara maju.
“MoU ini akan membuka lembaran baharu kerjasama Malaysia dan Korea dalam bidang teknologi dan inovasi. Program ini bukan sekadar persidangan, tetapi satu detik memperbaharui komitmen, semangat kerjasama dan harapan untuk membangunkan mobiliti lebih pintar, selamat serta mampan bagi rakyat kita.
“Usaha ini menjadi bukti perjalanan dua hala dibina atas kepercayaan, rasa hormat dan keyakinan bahawa kedua-dua negara mampu membentuk masa depan mobiliti bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap merasmikan Jerayawara ITS Korea Malaysia 2025 dan Majlis Menandatangani Persefahaman Malaysia-Korea Bagi Memperkukuh Kerjasama Dalam Pembangunan Infrastruktur dan Teknologi Pembinaan, di sini hari ini.
Alexander berkata, asas utama pelaksanaan ITS adalah berorientasikan rakyat dan bukan semata-mata teknologi atau sistem operasi.
Katanya, kerajaan mahu membina mobiliti selamat, cekap dan mesra pengguna untuk semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, pekerja serta pengguna jalan raya harian.
“Pada asasnya, ITS adalah tentang manusia, keselamatan seorang ibu yang memandu pulang, pekerja tiba tepat waktu, ambulans tiba lebih cepat dan kanak-kanak melintas jalan dengan selamat. ITS bukan hanya tentang sistem, tetapi tentang nyawa.
“Sehubungan itu, Malaysia komited memperkukuh kerjasama dengan Korea memandangkan negara itu memiliki kepakaran luas dalam teknologi bandar pintar, digital dan pembangunan ITS,” katanya.
Tambah beliau, hubungan Malaysia dan Korea bukan baharu, malah dari Jambatan Kedua Pulau Pinang ke Menara Berkembar Petronas, kejuruteraan Korea tertulis dalam landskap negara.
“Ketika Malaysia dan Korea bersatu, kita bukan sahaja membina infrastruktur, tetapi membina legasi,” katanya.
Katanya, Malaysia kini bersedia melangkah lebih jauh melalui ITS untuk dikenali di peta dunia sebagai negara yang memacu inovasi dalam teknologi pengangkutan. – KOSMO! ONLINE














