fbpx
Gambar hiasan.

Jika boleh, kita mahu setiap inci jalan diterangi lampu – Menteri KKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya mengakui berdepan kekangan sumber untuk memastikan setiap jalan raya di seluruh negara diterangi cahaya lampu bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna terutama pada waktu malam.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sehubungan itu, kementeriannya sentiasa memohon peruntukan tambahan dari tahun ke tahun dalam memastikan jalan raya diterangi dengan cahaya lampu.

“Jika boleh, kita memang mahu setiap inci jalan diterangi sepenuhnya, namun begitu, kita masih berdepan kekangan sumber. Justeru, buat masa ini dasar kita adalah memberi keutamaan kepada pencahayaan di kawasan berisiko tinggi kemalangan, termasuk di persimpangan dan di jambatan.

“Kita masih belum mampu untuk menyediakan pencahayaan di sepanjang keseluruhan jajaran jalan. Atas sebab itu, masih terdapat bahagian jalan yang gelap.

“Bagaimanapun, kita sentiasa memohon peruntukan tambahan dari tahun ke tahun supaya akhirnya kita dapat menambah baik dan memperluaskan pencahayaan jalan raya di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas merasmikan Jerayawara Sistem Pengangkutan Pintar Korea Malaysia 2025 dan Majlis Menandatangani Persefahaman Malaysia-Korea Bagi Memperkukuh Kerjasama Dalam Pembangunan Infrastruktur dan Teknologi Pembinaan di sini hari ini.

Alexander mengulas mengenai rungutan pengguna berhubung ketiadaan cahaya lampu di Jalan Persekutuan di Johor sekali gus menyukarkan mereka yang memandu pada waktu malam.

Alexander berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk polis dalam mengenal pasti jajaran jalan yang memerlukan pencahayaan.

“Ya, sudah tentu. Bukan sahaja dengan pihak polis, malah kementerian sendiri mempunyai pangkalan data yang lengkap dan terperinci. Kami mengetahui keadaan setiap meter jalan di bawah seliaa kin kami.

“Namun demikian, kami sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi-agensi lain seperti pihak polis bagi mengenal pasti kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan memerlukan perhatian khusus,” katanya.

Beliau berkata, ada keadaan yang mana terdapat lampu jalan di sesuatu kawasan, namun ia tidak berfungsi disebabkan rosak atau vandalisme.

“Vandalisme agak berleluasa, orang curi-curi kabel, jadi kita gantikan lampu berkabel itu kepada LED solar. Itu pun kadang-kadang ada juga orang tumbangkan (tiang).

“Jadi saya merayu kepada semua pengguna jalan raya, rakyat biasa hormatilah harta kerajaan atau agensi yang lebih-lebih lagi tujuannya adalah untuk keselamatan dan keselesaan anda semua sebagai pengguna jalan raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN