WOLVERHAMPTON – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menghamburkan pujian kepada Mason Mount yang memainkan peranan penting ketika menang 4-1 ke atas Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux awal pagi tadi.
Mount turut menunjukkan ciri-ciri kepimpinan luar biasa dan Amorim menjelaskan pemain tengah berkenaan sentiasa menjadi contoh yang baik buat rakan sepasukannya yang lain.
“Dia (Mount) mampu melakukan tugasan bertahan, menyerang dan kualitinya ketika mengawal bola cukup bagus, jadi ia bukan sesuatu yang mengejutkan saya.
“Dia adalah pemimpin yang berbeza, tidak seperti Licha (Lisandro Martinez) kerana dia memberikan contoh ketika mengetuai pasukan. Tidak kira situasi yang dihadapi, Mason kekal sama.
“Dia melakukan tugasanya dengan baik ketika latihan, bercakap dan berurusan dengan semua orang di Carrington. Bukan senang untuk memiliki pemain yang hebat sepertinya,” katanya.
Pada perlawanan awal pagi tadi, Bruno Fernandes turut mencuri perhatian apabila menyumbangkan dua gol diikuti satu daripada Bryan Mbeumo dan Mount, manakala jaringan tunggal tuan rumah dihasilkan oleh Jean-Ricner Bellegarde.
“Saya cukup menikmati permainan kami di babak kedua di mana kami mempunyai rentak dan berjaya membuat keputusan dengan baik,” jelas Amorim.
Kemenangan itu melonjakkan United ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengharungi 15 perlawanan setakat ini. – AGENSI














