fbpx
Mohamed Khaled

Dunia terjejas jika keselamatan Malaysia terancam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Negara-negara lain mahu Malaysia mempunyai keupayaan pertahanan yang secukupnya kerana kegagalan Malaysia berbuat demikian boleh menjejaskan dunia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia merupakan laluan dagangan utama dunia, maka negara lain mahu Malaysia mampu mengurus dan mempertahankannya.

Menurut beliau, atas sebab tersebut juga Malaysia merupakan antara negara yang menerima banyak sumbangan pertahanan dari negara lain.

“Mereka menyalurkan bantuan kewangan untuk kita beli macam-macam peralatan (pertahanan). Ada (membantu pembinaan) untuk landasan kapal terbang RM160 juta, mereka yang membayar .

“Terdapat negara seperti Jepun memberi kita pelbagai dron latihan dan sebagainya dan ada negara seperti Korea akan menganjurkan program untuk industri pertahanan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Rosni Sohar di Dewan Negara di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, langkah lain bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara adalah mempunyai hubungan yang baik dengan banyak negara melalui diplomasi pertahanan.

Kata beliau, ukuran keupayaan pertahanan Malaysia malah bersandarkan kepada doktrin hanya untuk mempertahankan negara tanpa ada niat menyerang negara lain.

“Melalui diplomasi pertahanan, pelbagai eksesais kerjasama latihan di buat supaya negara lain yang mungkin mempunyai niat tidak baik nampak kita ada banyak kawan.

“Kalau apa-apa (niat menyerang Malaysia), maka tentunya tak mudah bagi negara itu untuk mencapai matlamat dan cita-cita mereka.

“Jadi begitulah bagaimana kita menjaga keselamatan bukan hanya dengan kita beli aset (ketenteraan), tetapi melalui pelbagai pendekatan (diplomasi pertahanan),” katanya.

Terdahulu, Mohamed Khaled memaklumkan, Malaysia dijangka memperoleh dua Pesawat Rondaan Maritim daripada syarikat aeroangkasa, pertahanan dan keselamatan Itali, Leonardo pada tahun 2027.

Kata beliau, Malaysia juga dijangka menerima sistem pesawat tanpa pemandu (drone) `Medium Altitude Long Endurance’ yang berupaya terbang pada ketinggian 25,000 kaki dan melakukan penerbangan lebih 20 hari awal tahun depan.

Tambah beliau, Malaysia juga akan memperoleh pesawat FA-50 dari Korea sebanyak 18 buah yang kini dalam pembinaan bagi menggantikan pesawat Hawk.

“Kita mempunyai rancangan untuk memperoleh pesawat F/A-18 daripada Kuwait. Jika ia tidak berhasil, kita sudah pun menyediakan pendekatan-pendekatan lain.

“Selain itu, kita merancang perolehan helikopter `Combat Search and Rescue’ bagi meningkatkan keupayaan sokongan tempur dan misi kemanusiaan.

“Kita juga sedang melaksanakan perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan Kapal Misi Pesisir (LMS) dengan LCS dijangka siap pada akhir tahun depan, manakala LMS dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI