PETALING JAYA – Dasar perlindungan sosial negara perlu dilaksana secara inklusif dan menyeluruh, meliputi setiap negeri serta semua lapisan masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu termasuk penyediaan perkhidmatan penting seperti pusat rehabilitasi, malah undang-undang dan peraturan berkaitan juga perlu diteliti semula agar pelaksanaan inisiatif dapat dipercepat dan memberi impak terbaik kepada rakyat.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) Kali Ke-9, Bil. 2 Tahun 2025 hari ini.
“Tahniah saya ucapkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atas pelantikan semula sebagai Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) bagi penggal 2026–2028, satu pengiktirafan besar buat Malaysia di pentas global.
“Mesyuarat turut mengambil maklum penambahbaikan sistem PADU yang dipacu Kementerian Ekonomi, serta pembentangan kertas kerja oleh Perkeso, World Bank dan Kementerian Ekonomi dalam usaha memperkukuh ekosistem perlindungan sosial negara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Selain itu katanya, beliau turut menghargai penerbitan Statistik Perlindungan Sosial Malaysia 2024, sebagai rujukan penting dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian dasar kepada rakyat di seluruh pelosok negara. – KOSMO! ONLINE














