PETALING JAYA – Selepas dua dekad mengubah landskap industri penerbangan melalui AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun kini melangkah ke satu lagi cabang perniagaan yang sangat berbeza dengan pengalaman dirinya iaitu perniagaan lampin bayi tanpa bahan kimia berjenama MILK.
Beliau berkata, pendekatannya terhadap perniagaan tersebut masih sama ketika memimpin syarikat yang terkenal dengan motto Everybody Can Fly ketika membina jenama dan empayar AirAsia kerana beliau tidak mengejar keuntungan jangka pendek, tetapi mengejar skala.
Menurutnya, pengalaman dalam industri penerbangan turut membentuk cara beliau berfikir untuk meneroka pasaran lampin.
“Seperti AirAsia yang menjadikan perjalanan udara lebih mampu milik, MILK mempunyai misi untuk mengubah industri bayi dengan memberikan produk berkualiti premium pada harga mesra pengguna.
“Banyak persamaannya dalam dunia dua perniagaan ini, sama seperti dalam industri penerbangan, kami berjuang untuk menjadikan perjalanan lebih mampu milik. Dalam industri bayi, kami mahu memastikan lampin yang benar-benar selamat boleh diakses semua,” katanya pada majlis pelancaran produk tersebut di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai produk tersebut, Kamarudin menerangkan, industri bayi khususnya produk lampin adalah sektor yang besar tetapi terlalu banyak produk yang menggunakan bahan kimia sehingga beliau bersama beberapa rakannya memutuskan tampil dengan produk lampin bayi bebas bahan kimia.
Ia juga bebas klorin, pewangi, tidak menggunakan pewarna karsinogenik, selain disahkan dermatologi sebagai selamat untuk kulit sensitif.
“Ramai ibu bapa tidak menyedari betapa banyak bahan kimia digunakan dalam lampin komersial, dan kebanyakannya berkait rapat dengan warna dan corak yang menarik. Lagi banyak warna, lagi tinggi risiko bahan kimia.
“Atas kesedaran inilah MILK memilih pendekatan minimalis dengan hanya dua warna iaitu putih dan biru serta tiada sebarang corak.
“Kesederhanaan itu bukan sekadar rekaan, tetapi satu komitmen terhadap keselamatan kulit bayi,” jelasnya.
Tambah beliau, nama MILK sendiri membawa simbolik kepada ketulenan iaitu sesuatu yang suci, bersih dan semula jadi.
Tambah beliau, produk yang telah mula dijual di pasaran kini di eksport ke 10 buah negara termasuk Malaysia iaitu Vietnam, Kemboja, Taiwan, Singapura, India, Maldives, Oman, Rusia dan Brunei.
“Kami menjangkakan untuk menjual sehingga 10 juta unit lampin, selari dengan perancangan agresif syarikat tahun depan” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














