JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berpeluang untuk mengekalkan reputasi sebagai pasukan yang lebih baik berbanding kelab China di pentas Liga Juara-Juara Elit (ACLE) musim ini.
Walaupun gagal meraih kemenangan dalam dua aksi di pertandingan antarabangsa, Harimau Selatan kini memiliki satu pilihan iaitu perlu menewaskan juara Liga Super China, Shanghai Port bagi mencerahkan harapan berada dalam kelompok lapan terbaik ACLE.
Selepas mengatasi Chengdu Rongcheng dan Shanghai Shenhua, JDT boleh melengkapkan dominasi ke atas kelab China dengan melayan kunjungan Shanghai Port di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Pengendali JDT, Xisco Munoz menegaskan tiada jalan pintas buat anak-anak buahnya kecuali perlu segera bangkit dengan mengekalkan kerja keras sekali gus memastikan permainan lebih positif mampu dilakukan.
Sejurus mencatat keputusan seri 2-2 dengan wakil Kemboja, Svay Rieng dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) pada Khamis lalu, Munoz tidak rela perkara sama terus berulang dan seluruh pasukan harus melihat lebih ke depan.
“Ia sentiasa positif jika anda bermain tiga perlawanan di ACC dan tidak mengalami kekalahan. Kami tidak boleh berpatah balik untuk merubah keputusan (seri) tetapi kami perlu belajar daripada situasi yang berlaku,” katanya.
Berdasarkan pencapaian ACLE dan kelebihan bermain di laman sendiri, Harimau Selatan dijangka tidak berdepan masalah untuk meraih tiga mata memandangkan Shanghai Port kini berada di kedudukan tercorot.
Selepas mengharungi lima perlawanan, JDT berada di kedudukan ketujuh dengan meraih tujuh mata hasil dua kemenangan dan sekali seri. – KOSMO! ONLINE














