fbpx
SKUAD skuasy negara turut memberikan perhatian untuk acara jumbo pada temasya kali ini ekoran jumlah pingat emas yang ditawarkan terhad.

SUKAN SEA: Skuasy fokus acara jumbo demi bolot emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Skuad skuasy negara melaungkan keyakinan untuk menyapu bersih empat pingat emas yang dipertaruhkan pada Sukan SEA Thailand termasuk dalam acara jumbo yang jarang disertai Malaysia pada edisi sebelum ini.

Jurulatih negara, Shahril Shahidan menegaskan Malaysia tidak lagi boleh ‘mengorbankan’ acara jumbo seperti lazimnya, memandangkan jumlah emas yang ditawarkan kali ini terlalu terhad.

“Biasanya kalau ada lima atau enam acara, kita boleh ‘korbankan’ satu atau dua acara jumbo untuk tuan rumah. Tetapi, untuk edisi kali ini, kita tidak boleh berkompromi kerana hanya empat emas ditawarkan. Kita mahu ambil bahagian dan memenangi kesemua acara,” katanya.

Menurut Shahril, kem negara memiliki kelebihan di atas kertas dalam perseorangan lelaki dan wanita berdasarkan ranking dunia yang meletakkan pemain Malaysia sebagai pilihan utama dan kedua.

Namun, cabaran lebih besar menanti dalam beregu jumbo dengan Malaysia dijangka bukan pilihan berikutan gandingan baharu yang belum mempunyai rekod kejohanan.

“Disebabkan seeding kita rendah, kemungkinan besar kita akan berada dalam kumpulan maut bersama pilihan pertama, Filipina. Negara seperti Filipina, Indonesia dan Singapura memang aktif dalam acara jumbo kerana mereka tahu sukar menewaskan kita dalam acara perseorangan.

“Tetapi, saya tetap optimis. Walaupun Filipina menang emas di Kemboja, pasangan Indonesia yang menewaskan mereka sudah pernah tumpas kepada pasangan kita. Jadi peluang tetap ada,” ujar Shahril.

Skuad negara kini berada pada tahap persiapan terbaik, dibarisi pemain elit yang aktif menyertai kejohanan bertaraf dunia.

Acara jumbo akan membuka tirai pada 14 hingga 16 Disember, sebelum acara perseorangan berlangsung dari 17 hingga 19 Disember.

Shahril turut melihat edisi kali ini sebagai medan penting menuju Sukan SEA 2027 di Malaysia, di mana skuad negara berharap dapat mempertandingkan sehingga 10 acara skuasy pada temasya tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI