JOHOR BAHRU – Taktik licik seorang pegawai yang dipercayai terbabit dalam aktiviti ‘passport terbang’ di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) terbongkar apabila gerak-geri mencurigakannya dihidu Unit Integriti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), semalam.
Rahsia petualang itu terbongkar ketika sepasukan anggota integriti AKPS melakukan rutin pemantauan harian kira-kira pukul 11.30 pagi di Dewan Penumpang Masuk.
Menurut kenyataan dikeluarkan AKPS BSI, pihaknya mendapati pegawai bertugas di kaunter MyBorderPass itu membawa dua telefon bimbit, sekali gus melanggar arahan pentadbiran yang melarang sebarang alat komunikasi semasa bertugas.
“Ketika disoal siasat, pegawai itu gagal memberikan alasan munasabah dan terus dibawa ke pejabat untuk pemeriksaan lanjut.
“Siasatan lanjut membawa kepada penemuan lapan pasport warga asing yang disorok dalam sebuah beg hitam di ruang simpanan motosikal Honda Vario miliknya yang diparkir di kawasan bangunan pemeriksaan berkenaan.
“Pasport yang dirampas terdiri daripada enam pasport Republik Rakyat China, satu pasport Indonesia, dan satu pasport Vietnam,”katanya kenyataan itu.
AKPS berkata, susulan penemuan itu, pegawai berkenaan ditahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150) kerana memiliki pasport yang dikeluarkan untuk kegunaan orang lain tanpa kuasa sah.
Turut disita ialah motosikalnya, lapan pasport yang ditemui serta dua telefon bimbit miliknya yang dipercayai digunakan untuk menguruskan urusan gelap tersebut.
Menurut agensi itu, kes berkenaan kini disiasat lanjut untuk mengenal pasti sama ada wujud rangkaian lain yang terlibat dalam cubaan menyeludup pasport berkenaan.-KOSMO! ONLINE














