PETALING JAYA – Helah seorang lelaki tempatan yang disyaki cuba keluar dari negara ini menggunakan pasport milik individu lain gagal dalam satu operasi khas di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Jalan Kuching, di sini semalam.
Operasi yang bermula kira-kira pukul 11 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, lelaki berkenaan ditahan di Kaunter Pemeriksaan Keluar KLIA Terminal 1 ketika cuba meninggalkan Malaysia menggunakan pasport India.
“Suspek merupakan wargan tempatan dan dipercayai menggunakan pasport India yang disyaki dipalsukan identiti pada muka surat biodata atau menggunakan pasport milik individu lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penahanan lelaki itu membawa kepada serbuan ke sebuah premis kediaman di Jalan Kuching.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati wanita tersebut telah tinggal lebih masa di negara ini dan cubaan melarikan diri bersama MyKad milik suspek lelaki berjaya digagalkan oleh pasukan operasi.
Tambahnya, lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(1)(b) Akta Pasport 1966, manakala perempuan warga India disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.
“Wanita berkenaan juga akan disiasat oleh JPN di bawah Peraturan 25(1) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana disyaki terlibat dalam kesalahan berkaitan dokumen pengenalan diri.
“Kesemua suspek telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














