PETALING JAYA – Lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan secara berulang dalam operasi bersepadu di sekitar Pasar Selayang, kelmarin, membuktikan kelemahan ketara dalam pendekatan penguatkuasaan sedia ada.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, meskipun fokus utama pihaknya tertumpu kepada integriti dan pencegahan rasuah, isu PATI tidak boleh dilihat secara terpisah.
Beliau berkata, setiap operasi penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara telus dan tindakan susulan kerana melibatkan risiko ketirisan, pemalsuan dokumen, perlindungan haram serta kewujudan sindiket yang dipercayai dipacu unsur rasuah.
“Laporan terbuka perlu dikemukakan berkaitan jumlah PATI yang dihantar pulang, didakwa di mahkamah atau dibebaskan. Tanpa ketelusan, penguatkuasaan hanya menjadi ritual, bukan penyelesaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jais berkata, penyelesaian isu PATI tidak boleh bergantung kepada serbuan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk reformasi pengurusan buruh asing, tindakan konsisten terhadap majikan dan ejen, serta pemantauan berterusan ke atas penempatan pekerja.
“Kebertanggungjawaban agensi berkaitan juga penting. Data berkala perlu diterbitkan bagi memastikan penguatkuasaan bukan sekadar tangkapan sementara tetapi membawa kepada penyelesaian yang berkesan dan berkekalan,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengetuai operasi mengejut bagi memburu PATI di sekitar Selayang Baru yang membawa kepada penahanan 843 individu atas pelbagai kesalahan.
Operasi bersepadu yang bermula kira-kira pukul 8 malam itu melibatkan kawasan Pasar Selayang dan Pasar Tani Selayang selepas pihak berkuasa menerima banyak aduan awam dan hasil risikan.
Dalam operasi tersebut, seramai 1,116 individu diperiksa dengan penglibatan Majlis Keselamatan Negara Selangor, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara serta pihak berkuasa tempatan. – KOSMO! ONLINE














