KUALA LUMPUR – KNKV Group Sdn. Bhd. (KNKV) menyasarkan perolehan tambahan sebanyak RM100 juta tahun depan melalui kerjasama strategik mempercepatkan pertumbuhan digital bagi memacu pertumbuhan perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Kerjasama tersebut melibatkan rakan utama termasuk Muslim Insiders Chamber of Commerce, CTOS Data Systems, Droplets of Mercy Malaysia dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Ketua Pegawai Eksekutif KNKV, Prof Adam Richman berkata, sebagai rakan kongsi affiliate TikTok, kerjasama itu adalah satu peluang strategik bagi mempercepatkan pertumbuhan pemasaran digital Malaysia.
Jelasnya, ketika ini komuniti perniagaan tidak lagi bercakap tentang pemasaran secara biasa, tetapi berbicara tentang strategi pengiklanan yang mampu menjadi bukti penciptaan jualan yang konsisten, terukur dan berskala besar
“Sokongan dan kepakaran setiap rakan strategik ini akan menjadikannya lebih menyeluruh daripada sudut strategi, data, pendidikan dan impak sosial.
“Kerjasama ini juga membuktikan bahawa ekosistem digital hanya boleh berkembang melalui gabungan kekuatan industri, akademia dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Forum Perang Perniagaan Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) 2026 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Adam, KNKV telah menjalankan analisis dan data yang menunjukkan bahawa kejayaan beberapa jenama dalam mencapai jualan ratusan ribu ringgit sebulan di TikTok Shop hasil penguasaan ekosistem penuh TikTok.
“Menerusi penguasaan UGC (User-Generated Content), micro influencers, pengaktifan TikTok Live setiap hari dan penghasilan AI-powered content pada kuantiti yang tinggi mampu mencipta kekuatan yang dipanggil sebagai TikTok Interdependent Advertising Strategy,” katanya.
Beliau menambah, KNKV akan membawa strategi yang lebih agresif, fokus kepada data yang menjurus kepada jualan.
“Sasaran RM100 juta jualan tambahan bersama lebih 100 syarikat bukan anggaran semata-mata, tetapi ia adalah refleksi potensi sebenar apabila pencipta, data dan iklan bergerak seiring.
“Kerjasama ini menandakan permulaan kepada fasa baharu dalam industri pengiklanan Malaysia, di mana perniagaan tidak lagi bergantung pada iklan tradisional, tetapi menguasai naratif, komuniti dan algoritma,” jelas Adam. -KOSMO! ONLINE














