KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memperketat pemantauan serta audit terhadap hospital swasta bagi memastikan tiada caj rawatan berlebihan dikenakan kepada pesakit, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Beliau berkata, tugas tersebut dilaksanakan melalui Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (C-CAMPS) yang bertanggungjawab memastikan semua fasiliti kesihatan swasta mematuhi peraturan sedia ada, termasuk pengendalian aduan berkaitan caj rawatan.
“Pesakit boleh menyalurkan aduan kepada C-CAMPS melalui portal, talian telefon, surat rasmi atau hadir sendiri ke pejabat C-CAMPS di Putrajaya atau J-CAMPS di peringkat negeri.
“Ia merupakan platform bagi memastikan hospital swasta patuh kepada peruntukan undang-undang berkaitan caj rawatan,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Seri Vell Paari Samy Vellu di Dewan Negara hari ini.
Lukanisman berkata, KKM turut mengaktifkan semula Jawatankuasa Mekanisme Aduan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) serta pemain industri perubatan dan insurans bagi membangunkan protokol tuntutan insurans yang lebih telus.
“Di peringkat dasar, jawatankuasa bersama itu menyelaras tindakan rentas kementerian melibatkan isu kadar bayaran, pematuhan dan intervensi kos.
“Ia juga akan memacu pembangunan produk asas insurans atau takaful perubatan bagi meningkatkan ketelusan dan menstabilkan inflasi kos dalam sektor swasta,” katanya.-KOSMO! ONLINE.














