GOMBAK – Dua beranak yang disyaki terlibat dalam kes penderaan seorang pembantu rumah tempatan telah ditahan dan direman selama empat hari bermula 8 hingga 11 Disember ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, perintah reman terhadap kedua-dua suspek berkenaan dibenarkan bagi membantu siasatan kes tersebut.
Beliau berkata, kedua-dua suspek merupakan warganegara tempatan iaitu seorang wanita berusia 57 tahun dan seorang lelaki berusia 30 tahun.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kaedah serta tempoh sebenar penderaan yang dialami mangsa.
“Keadaan mangsa ketika ini dilaporkan stabil. Namun hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan luka di beberapa bahagian badan serta melecur pada lengan tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa merupakan warga tempatan dan telah bekerja di rumah majikan sejak September 2025, namun mendakwa tidak dibayar gaji sepanjang tempoh tersebut.
Tambahnya, mangsa telah diselamatkan dan kini ditempatkan di rumah perlindungan bagi keselamatan serta kebajikannya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pembantu rumah tempatan melarikan diri dari kediaman majikannya sebelum mendapatkan bantuan dan perlindungan daripada jiran berdekatan. – KOSMO! ONLINE














