KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan hubungan antara MCA dan UMNO dalam Barisan Nasional (BN) masih kekal dan dalam keadaan baik hingga hari ini.
Beliau menjelaskan, ia berikutan hubungan kedua-dua pihak yang sudah terjalin selama lebih 50 tahun disifatkan sebagai terlalu lama dan kukuh.
“Setakat hari ini saya nampak MCA masih kekal bersama BN. Kita ada hubungan yang baik dengan MCA. Jadi, tempoh pemulihkan (hubungan) itu sudah tentu kita akan perhatikan (nilai semula),” katanya.
“Kita dengan MCA ni kita punya pertalian ni sangat rapat hampir lebih daripada 50 tahun. Jadi, sebab itu kita terbiasa (bekerjasama) dengan seseorang (parti) yang sudah memahami (cara kerja) dengan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan 100 Tahun Penyelidikan Getah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Tambah beliau, setiap parti perlu menyesuaikan diri dengan landskap politik semasa untuk terus kekal relevan.
“Kita menerima hakikat bahawa dalam landskap politik hari ini, bukan mudah untuk sesebuah parti yang mutlak.
“Jadi, kita perlu menyesuaikan diri dengan realiti politik semasa,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata, MCA tidak teragak-agak untuk menilai semula kedudukan strategiknya bersama BN, sekiranya UMNO terus cenderung untuk menjalinkan kerjasama di luar gabungan itu, terutama DAP.
“Dalam sebarang keputusan besar mengenai kerjasama politik pada masa depan, jika UMNO terus cenderung kepada kerjasama di luar BN terutamanya DAP sehingga semangat BN hilang makna, MCA tidak akan berdiam diri,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














