PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memiliki tempoh 10 hari untuk mengemukakan hujah bertulis kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung isu membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Badan induk itu hari ini mengesahkan sudah menghantar rayuan rasmi kepada CAS dan kini kekal dengan pendirian untuk memberikan komitmen penuh terhadap segala prosedur perundangan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi sendiri mengesahkan rayuan berkenaan sudah pun dihantar oleh pihaknya.
“FAM telah kemukakan Pernyataan Rayuan kepada CAS berhubung hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas badan induk ini serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
“CAS telah menetapkan bahawa pihak peguam yang mewakili FAM mempunyai tempoh 10 hari sehingga 18 Disember 2025 untuk mengemukakan hujahan bertulis lengkap.
“FAM menegaskan komitmen penuh untuk melalui proses ini secara profesional, telus dan menghormati semua prosedur perundangan yang telah ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
FIFA sebelum ini sudah pun menolak rayuan dikemukakan oleh FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya susulan isu pemalsuan dokumen pada tahun ini.
Sebagai rekod, FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta), manakala tujuh pemain iaitu Gabriel Felipe, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel digantung 12 bulan serta denda 2,000 Franc Swiss (RM10,000). – KOSMO! ONLINE














