GEORGE TOWN – Tindakan pemilik sebuah premis dipercayai di negeri ini mengenakan caj mencuci tangan pada harga 50 sen telah mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial.
Ini berikutan tular satu gambar memaparkan sekeping nota ditampal pada dinding berdekatan pili mencuci tangan yang dimuat naik di satu laman media sosial Facebook, hari ini.
Rata-rata pengguna menempelak tindakan pemilik premis selain ada yang beranggapan tampalan nota tersebut hanya sekadar suka-suka.
“Dia kejut ja kot. Orang luar dok pakai selalu. Dia tempek ja senang,” kata Zy Herzy.
“Kalau betul, habis la tutup kedai tu. Orang tak akan datang,” balas Ahmad Huzaini Kamaruddin.
“Tak basuh tangan dah…Sudah makan, pakai jilat jari. Balik basuh tangan di rumah,” kata Dieyna Trigonahoney.
Dalam pada itu, ada juga pengguna media sosial menyarankan pelanggan premis berkenaan membawa pulang sabun yang disediakan pemilik berkenaan.
“Bayar 50 sen, bawa balik sekali sabun tu,” ujar Mohd. Razif Ajie. -KOSMO! ONLINE














