PETALING JAYA – Seorang lelaki mendedahkan isterinya menjadi mangsa selepas kereta dinaiki rosak teruk selepas mengisi petrol didakwa bercampur dengan air di sebuah stesen minyak di Nilai.
Menerusi hantaran di akaun Thread @Sifugoogleads, dia berkata akibat kejadian itu, kereta isterinya terpaksa ‘berkampung’ di bengkel selama hampir tiga minggu.
Katanya, kerosakan bermula sebaik sahaja isterinya mengisi minyak di sebuah stesen di Nilai sebelum kereta mula tersedu-sedu kurang dua kilometer dari pam minyak dan terus mati di tepi jalan.
Kenderaan itu kemudian dihantar ke pusat servis sebelum mekanik mengesahkan ada campuran air dalam minyak yang menyebabkan masalah pada enjin.
“Masuk pusat servis, pomen cakap betul ada air dalam minyak. Tapi sebelum tu pomen tanya betul ke isi RON95? Bukan diesel?
“Haa disinilah mujur abang simpan resit. Betul ya RON95 dan jadi bukti kuat yang kereta rosak sebab isi minyak,” katanya.
Susulan itu, pemilik berkenaan membuat laporan di stesen minyak terbabit dan dimaklumkan sudah 19 orang datang membuat tuntutan kerosakan dengan punca sama.
“Pergi buat laporan kat stesen, rupanya dah 19 orang tuntut benda yang sama. Pemilik stesen pula nak bayar sebahagian saja,” dakwanya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan satu lagi kejadian tular apabila seorang wanita mendakwa keretanya mati di tengah jalan selepas mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Nilai, sebelum mekanik mengesahkan tangki minyak dipenuhi air.
Ketika itu difahamkan, hampir 10 pemilik kenderaan tampil membuat laporan dan tuntutan pampasan, manakala stesen terbabit ditutup untuk kerja penyelenggaraan. – KOSMO! ONLINE














