fbpx
JIANG DAN (tengah) menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Universiti Perdana pada majlis konvokesyen semalam.

Kanser tidak halang genggam Sarjana MBA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Semangat tidak mahu mengalah demi mengapai kejayaan menjadi pegangan graduan Universiti Perdana, Jiang Dan untuk menggengam Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) biarpun dirinya disahkan menghidap kanser.

Menurut graduan yang berumur 50 tahun itu, dia disahkan menghidap kanser selepas tiga bulan menyambung pengajian, namun berbekalkan sokongan suami dan anak-anak dirinya tetap kuat untuk meneruskan pengajian seperti biasa.

“Fasa permulaan memang mencabar, saya berasa takut dan tertekan. Tetapi dengan sokongan keluarga, rakan sekelas, pensyarah serta kakitangan universiti, saya berjaya melalui tempoh yang sukar itu untuk berdiri menggenggam kejayaan.

“Keperihatinan dan sikap bantu membantu komuniti di Universiti membantu saya menghabiskan pengajian ini dengan jayanya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam semalam.

Lebih manis, Jiang Dan turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik bersama dua pelajar lain iaitu Sim Chap Hoong dan Ge Wenhao.

Universiti Perdana turut meraikan kecemerlangan pelajar melalui penganugerahan akademik tertinggi institusi dengan Anugerah Canselor diberikan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Terapi Carakerja, Kong Hui Rong.

Dua Anugerah Naib Canselor pula diterima oleh Lim Zhi Xuan dari program Doktor Perubatan (MD) dan Teh Wen Xin dari program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Terapi Carakerja.

Selain itu, Anugerah Kecemerlangan Advokasi Penjagaan Kesihatan dirangkul Yeoh Xin Yi, manakala Anugerah Pemimpin Muda Masa Hadapan menjadi mlik Lee Jia Wen.

Dalam majlis sama, Universiti Perdana turut menganugerahkan Pingat Penghormatan Tan Sri Datuk Dr. Mohan Swami, iaitu pengiktirafan tertinggi universiti, kepada lima tokoh terkemuka negara yang telah memberi sumbangan besar dalam pembangunan perubatan, kesihatan awam, sains psikologi, tadbir urus serta pembangunan institusi.

Mereka ialah Datuk Dr. Abd. Shukor Ahmad, Datuk Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, Prof. Dr. Krishna Gopal Rampal, Prof. Dr. Viren Swami dan Yahya Abdullah.

Dalam pada itu, Canselor Universiti Perdana, Tan Sri Dr. Suleiman Mohamed menyeru para graduan agar melangkah ke masa hadapan dengan keyakinan dan integriti, sambil terus memikul tanggungjawab sebagai pemimpin dan pembawa perubahan.

“Wahai para graduan, masa depan kini berada di tangan anda. Teruslah belajar dengan penuh keinginan, berkhidmat dengan rendah diri dan memimpin dengan penuh integriti. Anda adalah harapan dan kebanggaan Perdana University hari ini, esok dan di masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Perdana, Datuk Ts Dr. Mohd Razali Muhamad, merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, keluarga serta para pendidik yang menjadi tulang belakang kejayaan para graduan melalui sokongan yang tidak pernah putus. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI