KUCHING – “Ada orang bawa mereka ke sana, tapi tidak tahu siapa,” kata bapa kepada salah seorang kanak-kanak hilang yang dijumpai selamat di Kampung Pasir Pandak, di sini.
Abdul Nasri Asyraf Rahman berkata, misteri itu diceritakan anaknya kepada orang kampung yang menjumpai mereka, pagi tadi.
“Semasa dijumpai, orang kampung tanya buat di situ dan mereka beritahu ada kakak membawa mandi,” katanya semasa ditemu bual.
Justeru, beliau meluahkan rasa bersyukur kerana anaknya yang masih berusia lima tahun bersama-sama seorang lagi kanak-kanak seusianya ditemukan selamat.
“Saya menyangka mereka di dalam hutan tapi rupa-rupanya di tepi pantai,” katanya.
Dua kanak-kanak bersaudara terbabit yang disedari hilang kira-kira pukul 11 pagi semalam, ditemukan selamat oleh penduduk kampung pada pukul 9.05 pagi tadi di lokasi Batu Gelingan berhampiran pantai.
Terdahulu, kedua-duanya dilaporkan keluar kira-kira pukul 9 pagi semalam menuju ke rumah nenek mereka yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah untuk bermain dengan sepupu mereka. – KOSMO! ONLINE














