fbpx
SUMALI (kiri) menyampaikan amanat kepada para pemain sepak takraw negara di WTC malam kelmarin. - SHIDDIEQIIN ZON

PSM hidu taktik licik Gajah Perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD sepak takraw negara enggan terperangkap dengan taktik licik tuan rumah, Thailand yang mengubah tradisi kejohanan apabila meletakkan acara regu berpasukan sebagai aksi pembuka tirai pada Sukan SEA 2025.

Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan menyifatkan perubahan jadual itu sebagai satu strategi psikologi Gajah Perang untuk memberi tekanan awal kerana lazimnya regu berpasukan menjadi acara penutup tirai sebelum ini.

“Macam ada taktikal baru, mungkin dia (Thailand) yakin untuk mencipta kemenangan dalam regu berpasukan. Secara tak langsung ia akan memberi kesan kepada acara yang seterusnya.

“Biasanya regu berpasukan adalah acara terakhir. Tapi bila acara tersebut bermula sebelum yang lain, saya ingat ada satu taktikal lain dibuat oleh Thailand,” katanya dalam sidang akhbar majlis penyerahan jersi skuad kebangsaan di WTC malam kelmarin.

Menurut Sumali, Thailand mungkin menggunakan pendekatan itu bagi ‘membunuh semangat’ pasukan lawan lebih awal, namun menegaskan barisan pemain sudah dipersiapkan dengan jati diri tinggi untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kita bersedialah dalam apa cara sekalipun. Saya sudah katakan kepada pemain, bila masuk ke gelanggang, kita nakkan kemenangan. Kita nak pingat emas, itu sahaja,” jelasnya.

Beliau juga percaya jika Malaysia berjaya melakukan kejutan menewaskan Thailand dalam regu berpasukan, tekanan akan beralih kepada tuan rumah sekali gus membuka laluan lebih mudah untuk skuad negara menguasai acara-acara berikutnya.

“Kalau kita dapat pecahkan tembok besar pada hari pertama ini (regu berpasukan), saya rasa untuk acara lain mungkin kita akan berjaya juga pecahkan tembok besar Thailand ini,” ujarnya.

Mengenai sasaran pingat, PSM kekal optimis dua pingat emas dan mahu kemenangan kali ini menjadi lebih bermakna dengan menewaskan Thailand secara mutlak, bukan sekadar menang kerana ketiadaan musuh tradisi seperti edisi-edisi lalu.

“Kita nak pingat emas Sukan SEA dan dapat kalahkan Thailand. Sejarah telah membuktikan terutama acara regu dan kuadran, memang kita boleh kalahkan dia (Thailand),” katanya.

Skuad wanita pula disasarkan meraih sekurang-kurangnya gangsa acara kuadran, manakala penyertaan acara chinlone dianggap sebagai medan pemanas badan dan menganggapnya ia satu bonus jika berjaya menaiki podium. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN