
TAPAH – Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Kimia) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan produk makanan sihat untuk mereka yang menghadapi masalah penyakit kulit ekzema selain mementingkan penjagaan kesihatan.
Menurut Aisyah Nazeri, 26, sejak 2018, dia bersama ibu saudaranya, Norkamisah Arshad, 52, menghasilkan pelbagai varieti produk makanan seperti cakar ayam, kerepek bawang, pisang, sambal ikan masin, bilis, dan bawang goreng merah serta putih dibawah jenama Abkaz.
“Kelebihan produk kami ialah penggunaan minyak masak hanya sekali guna, manakala bekalan bahan mentah seperti pisang dan ubi keledek diperolehi daripada petani sekitar kampung berdekatan yang majoritinya menggunakan baja organik selain tidak mengaplikasikan racun untuk kawalan rumpai serta serangga perosak tanaman.
“Tanaman secara organik ini sekaligus dapat membantu mereka menambah pendapatan,” katanya kepada Kosmo! di Kampung Sungai Lesong, di sini semalam.
Tambahnya, setiap produk yang dihasilkan tidak mengandungi bahan penambah perasa makanan monosodium glutamat (MSG) selain menggunakan gula organik dan garam Himalaya.
“Kos-kos barangan ini agak tinggi menyebabkan margin keuntungan menjadi rendah, namun saya melihat ia sebagai satu tanggungjawab untuk menawarkan makanan sihat kepada pengguna.
“Saya juga tidak menggunakan belacan kerana ada yang alergik dan alah terhadap bahan masakan tersebut, yang menjadikan produk Abkaz sesuai untuk semua golongan,” katanya.
Ujar Aisyah, pendapatan kasar perniagaannya boleh mencecah sekitar RM7,000 hingga RM10,000 sebulan dan angka itu akan meningkat setiap kali cuti persekolahan dan musim perayaan.
Dia berterima kasih kepada Jabatan Pertanian Perak kerana kerap memberikan khidmat konsultasi dan pegawai mereka sering melawat bagi mengetahui perkembangan semasa perniagaan.
“Selain itu, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) memberi ruang kepada saya untuk terlibat dalam ekspo dan pameran sekitar negeri ini yang membantu mempromosikan jenama dan melonjakkan jualan.
“Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) turut membantu menyediakan geran berbentuk peralatan seperti mesin pengisar, pemotong dan peti sejuk untuk memproses produk,” katanya.
Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche daerah Batang Padang sebagai Pusat Pengedaran Pertanian ASEAN dengan antara tumpuan utama ialah pertanian.
Bantuan itu juga selaras dengan flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan flagship kelima, Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.














