REMBAU – Usaha mengesan dua lagi rakyat Malaysia yang hilang dalam bencana banjir dan tanah runtuh di Sumatera, Indonesia diteruskan walaupun berdepan risiko Monsun Timur Laut.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha tersebut sedang dijalankan pelbagai pihak termasuk Maritim Malaysia (APMM).
“Kita minta supaya usaha ini diteruskan. Laut bergelora setakat ini ekoran keadaan cuaca Monsun Timur Laut, jadi usaha menyelamat sukar tapi kita akan teruskan.
“Kita doa sama-sama (agar dua mangsa dijumpai),” katanya selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri, Kementerian Luar Negeri di Kampung Sawah Raja, di sini hari ini.
Setakat ini dua rakyat Malaysia masih gagal dikesan masing-masing seorang wanita berusia 64 tahun dan seorang lelaki dikenali sebagai Asrul Nizam Apridwson, 30, yang hilang dalam kejadian tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat pada 27 November lepas.-KOSMO! ONLINE














