PETALING JAYA – Seorang wanita berdepan detii cemas selepas dibawa arus banjir ketika sedang menyeberangi laluan yang ditenggelami air akibat hujan lebat berterusan di ibu negara, semalam.
Menerusi perkongsian video oleh pengguna media sosial, wanita berkenaan bersama beberapa individu lain sedang cuba menyeberangi jalan yang dinaiki air apabila pegangannya terlepas, menyebabkan dirinya hanyut dibawa arus deras.
Video berdurasi 34 saat itu turut memaparkan keadaan arus yang deras selain paras banjir melebihi ketinggian betis.
“Semalam 4 Disember, teruk juga KL (Kuala Lumpur) banjir,” jelas kapsyen pada video tersebut.
Bagaimanapun, wanita itu berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada berhampiran sebelum sempat dibawa lebih jauh oleh arus.
Semalam, beberapa kawasan di Kuala Lumpur dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak petang.
Antara kawasan yang dikenal pasti termasuk sekitar Bulatan Pahang, Jalan Tun Razak dan berhampiran Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, manakala beberapa jalan utama di pusat bandar mengalami kesesakan teruk ekoran banjir. – KOSMO! ONLINE














