PETALING JAYA – Video seorang pempengaruh warga Russia menemu bual seorang pekerja warga asing dalam bahasa Melayu mencuri perhatian ramai.
Menerusi perkongsian di TikTok oleh @alexey.brock, kelihatan lelaki tersebut menyoal mengenai situasi banjir yang berlaku di stesen MRT Titiwangsa semalam.
Pekerja warga asing yang dikenali sebagai Fizan turut meluahkan rasa kagum terhadap sistem perparitan dan teknologi pengurusan banjir di Malaysia yang disifatkan sangat baik kerana mampu menyurutkan air dalam masa satu jam.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial yang rata-ratanya terhibur dan berbangga melihat kedua-dua warga asing tersebut menggunakan bahasa Melayu.
“Warga asing jumpa warga asing tetapi bercakap dalam bahasa Melayu,” komen Azar.
“Terima kasih sebab letak usaha untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan Malaysia. Walaupun tak fasih tetapi masih boleh faham. Harap jadi inspirasi kepada warganegara sini yang tidak mahu belajar bahasa kebangsaan,” kata Dilla.
“Saya tak marah dan tahniah atas usaha awak sebab tak semua pandai cakap bahasa Melayu. Kita faham saja susah nak belajar bahasa lain,” komen Nefar. – KOSMO! ONLINE
@alexey.brock🇲🇾🎥Titiwangsa flooding cleared surprisingly quickly.. Stay safe semua🙏














