PETALING JAYA – Kejohanan Pickleball Celebrity Slam diperkenalkan buat julung kalinya dengan menggabungkan elemen sukan, hiburan dan gaya hidup sihat dalam satu gelanggang.
Kejohanan anjuran Panax Express dan Astro itu akan berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini di 9Pickle, Setia Alam yang turut disiarkan secara langsung di Astro Arena (Saluran 801) serta platform digital, Astro GO & sooka.
Enam pasukan akan memberikan persaingan sengit dalam empat kategori dipertandingkan iaitu beregu lelaki, beregu campuran, beregu terbuka dan individu.
Pemilik setiap pasukan terdiri daripada selebriti terkenal, Datuk AC Mizal: bekas pemain badminton negara, Tan Boon Heong dan Chan Peng Soon; pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azim atau dikenali sebagai Meri; pengasas jenama tempatan, SVG Worldwide, Ashraf Anuar dan pengasas Panas Express, Vincent Siow.
Antara selebriti dan bekas atlit yang akan turut memeriahkan kejohanan seperti legenda hoki tanah air, Datuk Mirnawan Nawawi, Koo Kien Keat, Adlin Aman Ramlie dan Sharif Zero.
“Sukan pickleball kini semakin mendapat perhatian dan dekat di hati peminat. Ini menjadi langkah penting dalam usaha menyokong pembangunan sukan pickleball, sekali gus menarik audiens baharu untuk mengikuti perkembangan sukan ini.
“Potensi besar pickleball bukan sahaja satu aktiviti gaya hidup sihat, tetapi juga sebagai sukan kompetitif yang mampu berkembang pesat. Kehadiran selebriti dalam kejohanan ini diharap dapat memperluas daya tarikannya, selain membuka peluang penajaan.
“Saya optimis bahawa Pickleball Celebrity Slam ini adalah titik permulaan ke arah pembentukan sebuah liga profesional pickleball di masa depan,” kata Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John.
Sementara itu, Vincent berkata, selepas kejayaan penganjuran PPA Jelajah Asia 2025, pihaknya percaya Malaysia memiliki potensi besar untuk menjadi hab utama perkembangan pickleball di rantau ini.
“Kami berharap untuk memperkukuhkan lagi komuniti pickleball tempatan serta memperluas daya tarikannya melalui platform hiburan dan selebriti,” katanya. – KOSMO! ONLINE














