MELAKA – Seramai 5,200 penjawat awam negeri ini bakal menerima bantuan khas kewangan minimum RM2,500 sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan pencapaian sepanjang tahun 2025.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, bantuan khas sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 akan diberikan dengan tambahan RM500 bagi memastikan semua penerima mendapat manfaat setimpal.
“Bantuan khas ini adalah sebagai tanda penghargaan di atas segala pencapaian sepanjang tahun 2025.
“Seramai 1,153 orang akan mendapat lebih daripada sebulan gaji. Antaranya yang paling tinggi adalah seramai 631 orang Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan Tadika Jabatan Agama Islam Melaka(JAIM),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15, di Seri Negeri, hari ini.
Ujarnya, keseluruhan implikasi kewangan bagi pemberian bantuan khas itu membabitkan peruntukan sebanyak RM11.379 juta.
Mengulas lanjut beliau berkata, semua kategori penjawat awam termasuk guru KAFA dan Tadika JAIM akan menerima peningkatan gaji kali kedua yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM7.5 juta.
“Kerajaan akan terus menghargai sumbangan penjawat awam dengan mewujudkan pelbagai bentuk pengiktirafan dan insentif, antaranya Insentif Jabatan Cemerlang, Insentif Jabatan Pemungut Hasil dan Kursus Profesional di luar negara.
“Saya amat berharap inisiatif ini dapat menyuntik semangat baharu kepada seluruh penjawat awam untuk terus komited seiring dengan aspirasi kepimpinan negeri menjayakan agenda pembangunan terancang, demi rakyat untuk rakyat pada 2026,” katanya. -KOSMO! ONLINE














