fbpx
JIA HING dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan memperdagang seorang gadis bawah umur ke Laos dan Myanmar, dua tahun lalu.

Pemuda lepas, bebas tuduhan jual gadis ke Laos, Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BATU PAHAT – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang lelaki yang dituduh memperdagangkan gadis bawah umur ke Laos dan Myanmar dua tahun lalu.

Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Teo Jia Hing, yang kini berusia 21 tahun selepas mahkamah mendapati terdapat keraguan dalam pendakwaan kes tersebut.

Ketika membaca hukuman di akhir pendakwaan, Hakim Osman Affendi berkata, mahkamah mendapati ada satu intipati asas yang perlu dibuktikan pihak pendakwaan bahawa tertuduh adalah individu memperdagangkan saksi pendakwaan kelima (SP5) yang juga mangsa.

“Keterangan yang wujud di mahkamah berkenaan identiti tertuduh sebagai pihak merekrut SP5 hanyalah berdasarkan keterangan lisan tanpa apa-apa sokongan yang kredibel.

“Mahkamah mendapati terdapat keraguan dalam kes pendakwaan berkaitan intipati ini di mana lebih daripada satu pandangan berkaitan sama ada tertuduh merupakan individu merekrut yang seterusnya memperdagangkan SP5 atau tidak.

“Mahkamah melakukan penilaian secara maksimum ke atas keterangan yang dikemukakan dan berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuat satu kes prima facie terhadap tertuduh. Sehubungan itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ini,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Jia Hing yang ketika itu berusia 18 tahun didakwa memperdagangkan mangsa berusia 17 tahun (ketika kejadian) dari Jalan Seluang, Taman Banang di sini hingga ke Laos dan Myammar pada pukul 10.30 malam antara Jun 2022 hingga Mei 2023.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda.

Berdasarkan laporan dibuat, mangsa mendakwa mengenali tertuduh melalui media sosial sebelum ditawarkan pekerjaan di luar negara. Mangsa yang bersetuju kemudian dibawa ke negara tersebut dan diminta bekerja sebagai ‘scammer’.

Pada prosiding itu, pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Tang Song Yan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN