SEBERANG PERAI – Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pendakwaan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap rakannya di sebuah ‘spa songsang’, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Azuddin Sabran, 58, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang lelaki berusia 57 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 7 malam di Unique Two Recreation Centre di Jalan Perai Jaya 4, Perai di sini, 29 November lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Ketika prosiding, Nurul Aini tidak menawarkan jaminan dengan alasan ia kesalahan yang tidak boleh dijamin serta kesalahan seksual.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon budi bicara mahkamah dengan membenarkan anak guamnya diberi jaminan bersyarat selain tertuduh telah memberikan kerjasama baik kepada polis sepanjang siasatan.
“Tertuduh bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Bayan Lepas dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,700 dan akan kehilangan kerja sekiranya tidak dibenarkan jaminan berisiko kehilangan kerja,” katanya.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes tersebut akan disebut semula pada 12 Januari depan bagi serahan laporan perubatan serta kimia.
Untuk rekod, tertuduh antara 13 lelaki yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah premis yang dijadikan sebagai port untuk melepaskan nafsu songsang mereka.
Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan seorang warga emas dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) antara 13 lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah ‘spa’ di Jalan Perai Jaya, Perai 29 November lalu. -KOSMO! ONLINE














