WASHINGTON – Pengguna internet melaporkan gangguan meluas pada pelbagai platform yang menggunakan perkhidmatan Cloudflare, termasuk Zoom, Canva, LinkedIn dan Down Detector, lapor portal berita Metro.co.uk hari ini.
Cloudflare menyediakan perkhidmatan kepada laman web utama seperti Discord, Notion, X, Spotify, Canva, GitHub dan Stack Overflow.
Laman beli-belah juga terjejas iaitu Shopify, Etsy, Wayfair, H&M, serta beberapa media berita termasuk Politico, Axios, Perbadanan Penyiaran British (BBC) dan lain-lain.
Malah Down Detector, laman yang menjejak gangguan internet dan aplikasi, turut mengalami masalah.
Cloudflare ialah sebuah syarikat yang membantu hampir dua daripada setiap 10 laman web untuk mengurus dan melindungi trafik internet mereka.
Banyak platform yang terjejas dan tidak boleh diakses itu menggunakan pelayan syarikat tersebut.
Buat masa ini, punca gangguan hari ini masih belum jelas, tetapi jika anda mengalami masalah, anda bukan satu-satunya yang terkesan.
Pada penghujung November lalu, berpuluh-puluh laman web menggunakan Cloudflare mengalami kerosakan, mendorong pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu, Matthew Prince memohon maaf.
Prince berkata, gangguan tersebut berpunca daripada sistem yang digunakan untuk melindungi laman web daripada serangan penafian perkhidmatan teragih (DDoS), yang telah mengalami kerosakan. – AGENSI














