fbpx
Shaharuddin (dua dari kanan) dan Shamsul Azri (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Ramli (kanan) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak di Kompleks Kraf Kuala Lumpur kelmarin.

Hari Batik Malaysia disambut meriah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Batik Malaysia 2025 anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berlangsung meriah di Kompleks Kraf Kuala Lumpur dan turut berlangsung serentak seluruh negeri.

Sambutan yang diadakan bersempena Karnival Komuniti Kraf 2025 yang sedang berlangsung sehingga Ahad itu bukan sahaja menampilkan pameran dan peragaan fesyen batik, malah turut memfokuskan kepada penyertaan komuniti kraf baharu serta pe­meteraian kerjasama strategik bersama sektor korporat.

Majlis sambutan telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dengan kehadiran barisan pimpinan tertinggi MOTAC serta pengurusan Kraftangan Malaysia.

Sebanyak 16 koleksi fesyen batik bertemakan ‘gaya identiti’ dipersembahkan, hasil kerja tangan peserta Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) yang terdiri daripada golongan suri rumah, belia dan orang kurang upaya (OKU).

Kemuncak majlis ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kraftangan Malaysia dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), yang disifatkan sebagai kerjasama strategik pertama melibatkan syarikat korporat besar.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, ini julung kali pihaknya bekerjasama dengan agensi korporat dalam usaha mempromosikan batik Malaysia.

“Ia melibatkan hiasan dekorasi luaran dan dalaman koc ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) menggunakan motif Identiti Malaysia.

“Kerjasama ini dijangka bakal memperluas promosi batik tempatan serta membuka peluang baharu untuk reka corak batik Malaysia diketengahkan di platform pengangkutan awam,” jelasnya.

Majlis sama turut menyaksikan penyampaian Sijil Standard MS692:2025 Batik Malaysia kepada tiga pengusaha batik, iaitu Ibrahim Deraman (Ayu Fashion), Nik Ghalmasin Nik Yahya (Beebah Batik) dan Muhammad Taslim Mohd. Din (Tas Berkat Enterprise).

Standard tersebut menjadi panduan teknikal yang menetapkan bahan, teknik penghasilan, corak, dan pelabelan bagi memastikan batik Malaysia setanding standard antarabangsa.

Mengulas perkembangan industri batik selepas lima tahun pe­nganjuran Hari Batik Malaysia sejak 2021, Shaharuddin berkata, penerimaannya kini jauh lebih meluas.

“Batik kita semakin maju, sema­kin moden dan digunakan secara lebih meluas. Kita turut perkenalkan teknik serta teknologi baharu seperti batik tanah liat dan batik linut yang menggunakan sagu rumbia dan bersifat lebih mesra alam.

“Ia diyakini mampu menarik perhatian masyarakat antarabangsa yang kini dilihat semakin mengutamakan elemen kelestarian.

“Kita mahu lebih mengantarabangsakan kraf kita. Kita akan libatkan peserta antarabangsa dan bawa batik Malaysia ke tahap lebih tinggi di peringkat global,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN