KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berhasrat untuk mengkaji semula harga minimum belian padi yang telah ditetapkan pada kadar RM1,500 bagi setiap tan metrik kerana trend harga beras dunia sedang mengalami penurunan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan namun memberi jaminan akan sentiasa memantau sebarang perubahan kos pengeluaran padi dan memberi pertimbangan sewajarnya pada masa hadapan.
“Perlu difahami, dalam mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan lagi harga lantai belian padi, pelbagai faktor perlu diambil kira seperti peningkatan kos upah, kos input pertanian serta impak kepada kos pengeluaran beras dan seterusnya akan memberi kesan kepada harga Beras Putih Tempatan di pasaran.
“Perkara lain yang perlu diambil kira adalah pergerakan harga beras dunia serta unjuran permintaan dan penawaran beras tempatan sekiranya harga lantai belian padi dinaikkan lagi,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) berhubung jaminan KPKM untuk mengkaji semula kenaikan harga padi agar seiring dengan peningkatan kos hidup petani di seluruh negara.
Terdahulu Mohamad menerangkan, kerajaan bersetuju menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik pada 16 Februari 2025.
Kata beliau, dalam masa sama kerajaan terus mengekalkan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) sebanyak RM500 per tan metrik.
“Ini bermakna pesawah akan memperolehi minimum RM2,000 per tan padi yang dijual. Keputusan ini dibuat adalah untuk menjaga kebajikan para pesawah terutama bagi menampung kenaikan kos pengeluaran padi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














